PRU15: MIC yakin rampas kerusi Parlimen Segamat

Raven Kumar (tengah) menyampaikan sijil pengiktirafan kepada peserta pertandingan kreativiti anjuran Muzart International di Kompleks Yayasan Warisan Johor, Johor Bahru pada Rabu.
Raven Kumar (tengah) menyampaikan sijil pengiktirafan kepada peserta pertandingan kreativiti anjuran Muzart International di Kompleks Yayasan Warisan Johor, Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Peningkatan sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu bagi dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Segamat memberi keyakinan MIC untuk merampas semula kerusi Parlimen itu.

Ketua Pemuda MIC, K Raven Kumar berkata, keyakinan itu juga berdasarkan situasi politik semasa yang dilihat banyak memihak kepada parti tersebut dan BN.

"Ketika PRN Johor lalu, graf menunjukkan pengundi BN telah meningkat bagi kawasan DUN Buloh Kasap dan DUN Jementah di Segamat. Walaupun BN tewas di Jementah tetapi jumlah pengundi meningkat," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh berkata demikian kepada pemberita selepas sidang akhbar Muzart International di Kompleks Yayasan Warisan Johor pada Rabu.

Pada PRU14, calon BN bagi Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr S Subramaniam yang juga Presiden MIC ketika itu tewas kepada calon PH, Datuk Seri Dr R Santhara Kumar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 5,476 undi.

Sehubungan itu, Raven Kumar berkata, persediaan untuk mencapai matlamat itu telah digerakkan Penyelaras Parlimen Segamat, Datuk M Asojan yang juga Naib Presiden MIC.

Kerja-kerja mendekati pengundi katanya, telah dilaksana parti itu sejak dua tahun lalu dan bagi jentera pemuda MIC, tahap kesediaan sudah mencecah 90 peratus dengan yang berbaki hanya untuk menambah baik pergerakan di peringkat akar umbi.

"Secara keseluruhannya kita yakin BN akan memenangi PRU15 sekali gus berjaya membentuk kerajaan pusat," katanya yang juga Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor.

Dalam pada itu, beliau berharap kepimpinan parti di peringkat pusat akan memberi peluang kepada calon Pemuda MIC untuk bertanding pada PRU15.
Artikel Berkaitan:


"MIC bertanding antara sembilan atau 10 kerusi Parlimen, jadi jika dua atau tiga calon datangnya daripada Pemuda MIC, itu sudah satu jumlah yang sangat bagus.

"Saya yakin calon daripada golongan muda akan terus diterima masyarakat khususnya generasi muda kerana bagi mereka apa yang penting adalah kriteria serta perjuangan yang dibawakan," ujar beliau.

Tambahnya, politik hanya semasa berkempen dan setelah itu mereka yang menang akan bekerja keras untuk rakyat kerana itu yang akan dilihat dan dinilai nanti.