Pelajar Kolej Komuniti jana pendapatan RM15,000 sebulan

Nur Aliya Saffiya menerima Anugerah Keusahawanan Kolej Komuniti pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Kedah Perlis baru-baru ini.
Nur Aliya Saffiya menerima Anugerah Keusahawanan Kolej Komuniti pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Kedah Perlis baru-baru ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Minat yang mendalam dalam bidang keusahawanan dan juga kecantikan melayakkan seorang pelajar Kolej Komuniti Sungai Petani merangkul Anugerah Keusahawanan Kolej Komuniti.

Nur Aliya Saffiya Mohd Azhan, 23, yang juga pemegang Diploma Terapi Kecantikan terpilih menerima anugerah terbabit berdasarkan pencapaian pendapatan bulanan tertinggi iaitu sebanyak RM15,000.

Dia yang juga pemilik Yaya Saffiya Empire berkata, perkhidmatan mobile spa yang diusahakannya mendapat sambutan menggalakkan walaupun hanya menggunakan media sosial sebagai teknik pemasaran.

"Semua ini bermula sejak saya berusia 20 tahun lagi ketika dalam bidang pengajian Sijil Terapi Kecantikan dan Spa di kolej yang sama.

"Selepas habis kelas saya akan turun ke bilik spa yang disediakan oleh Kolej Komuniti Sungai Petani untuk menyediakan servis rawatan kepada pelanggan," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Nur Aliya Saffiya juga aktif menyertai karnival keusahawanan yang diadakan sekitar Kedah untuk menyediakan rawatan kepada pelanggan.
Nur Aliya Saffiya juga aktif menyertai karnival keusahawanan yang diadakan sekitar Kedah untuk menyediakan rawatan kepada pelanggan.

Menurutnya, walaupun dia hanya menerima upah daripada pengurus spa ketika itu namun pengalaman yang dikumpul sepanjang bekerja di spa berkenaan tidak ternilai harganya.

"Saya tidak pernah terfikir akan menjadi usahawan seperti hari ini, tetapi keinginan untuk mencari duit sendiri menyebabkan saya terus berniaga sehingga sekarang," katanya yang juga berhasrat untuk mengeluarkan produk kecantikan jenamanya sendiri.

Artikel Berkaitan:

Nur Aliya Saffiya berkata, dia mengucapkan ribuan terima kasih kepada tenaga pengajar dan juga Kolej Komuniti Sungai Petani kerana memberi peluang kepadanya untuk melebarkan bakat yang dimiliki.

"Ada sesetengah pelajar enggan memilih kolej komuniti sebagai destinasi untuk menyambung pelajaran kerana pelbagai stigma dan anggapan negatif," ujarnya.

Nur Aliya Saffiya sedang mengenakan solekan pada wajah pelanggan.
Nur Aliya Saffiya sedang mengenakan solekan pada wajah pelanggan.

Walau bagaimanapun, Nur Aliya Saffiya berkata, sebagai pelajar di situ, kolej komuniti sebenarnya memberi banyak peluang perniagaan kepada pelajar mereka selain kemahiran-kemahiran tertentu.

" Contoh seperti saya walaupun masih belajar tetapi saya dapat menjana pendapatan harian dengan melakukan perkhidmatan spa yang disediakan di kolej," jelas beliau.

Tambah anak sulung daripada tiga beradik ini lagi, kolej komuniti juga banyak menyertai program yang akan memberi pendedahan dan pengalaman kepada pelajarnya sebagai persediaan kepada dunia pekerjaan.

"Jadi saya berharap orang ramai tidak lagi memandang rendah kepada graduan kolej komuniti selepas ini," katanya.