Parlimen Tasek Gelugor akan kembali kepada UMNO: Ismail Sabri

Ismail Sabri (tengah) melambai tangan kepada para pengunjung pada program Pemantapan Komuniti Bandar Keluarga Malaysia di Tasek Gelugor hari ini. Foto Bernama
Ismail Sabri (tengah) melambai tangan kepada para pengunjung pada program Pemantapan Komuniti Bandar Keluarga Malaysia di Tasek Gelugor hari ini. Foto Bernama
A
A
A

TASEK GELUGOR - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerusi Parlimen Tasek Gelugor akan kembali ke pangkuan UMNO melalui kemenangan yang akan diraih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ismail Sabri yang juga Perdana Menteri berkata, tujuan beliau turun ke kawasan Tasek Gelugor hari ini adalah untuk memastikan kerusi tradisi UMNO itu kembali kepada UMNO setelah ‘lari’ kepada parti lain walaupun UMNO memenangi kerusi itu pada PRU14.

Pada PRU14, kerusi Parlimen Tasek Gelugor dimenangi penyandangnya Datuk Shabudin Yahaya yang bertanding atas tiket UMNO ketika itu, namun beliau kemudiannya menyertai Bersatu pada Disember 2018.

"Saya yakin, kerusi ini akan kembali kepada pangkuan kita (UMNO)," katanya dalam ucapan perasmian Program Pemantapan Komuniti Bandar Keluarga Malaysia di sini hari ini.

Ditemui pemberita selepas itu dan ditanya kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Presiden Bersatu yang yakin Bersatu akan memenangi kerusi Tasek Gelugor itu, Ismail Sabri berkata semua yang bertanding harus ada keyakinan.

"Yang pasti, saya lebih yakin daripada beliau (Muhyiddin) sebab kerusi ini dulu dimenangi oleh UMNO bukan Bersatu tapi bekas Ahli Parlimen sini lompat ke sana. Waktu tsunami politik pun kerusi ini dimenangi oleh UMNO," katanya.

Ismail Sabri berkata, senarai pendek calon untuk kerusi Parlimen Tasek Gelugor telah diserahkan kepada lima pemimpin tertinggi UMNO (Top 5) untuk penilaian. - Bernama

Artikel Berkaitan: