Pemandu lori barang kurier maut rempuh treler

Anggota bomba mengeluarkan mangsa dalam kemalangan di Kilometer (KM) 42 Lebuhraya Kuala Lumpur ke Karak hala Barat pada Rabu.
Anggota bomba mengeluarkan mangsa dalam kemalangan di Kilometer (KM) 42 Lebuhraya Kuala Lumpur ke Karak hala Barat pada Rabu.
A
A
A

BENTONG - Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan dipandunya merempuh belakang treler di Kilometer (KM) 42 Lebuhraya Kuala Lumpur ke Karak hala Barat pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.50 pagi itu, mangsa yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 46 tahun yang membawa muatan barang kurier meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, hasil siasatan polis mendapati lori tersebut dari arah Bentong menghala ke Kuala Lumpur.

"Apabila sampai di tempat kejadian dipercayai pemandu lori mengubah haluan masuk ke lorong kiri untuk memotong kenderaan di hadapan.

"Lori itu kemudiannya melanggar bahagian belakang treler yang membawa muatan biji sawit seberat 50 tan yang berada di lorong kiri," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, akibat kemalangan itu mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu treler berusia 30 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kita juga memohon mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan: