STAR terkejut peningkatan jumlah pengundi di Sabah

Jeffrey
Jeffrey
A
A
A

KOTA KINABALU - Peningkatan jumlah pengundi yang luar biasa di seluruh Sabah termasuk kawasan Parlimen Keningau memberi kejutan kepada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Data jumlah pengundi yang luar biasa yang dicatat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu disedari selepas Parti Maju Sabah (SAPP) mendedahkan terdapat peningkatan jumlah pengundi di seluruh Sabah.

Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan mendapati peningkatan luar biasa di kawasan Parlimen Keningau adalah melebihi 70 peratus.

"Angka pengundi di Parlimen Keningau berjumlah 51,777 pada tahun 2018 dan ia meningkat secara mendadak kepada 87,371 pada 2022, menjadikan peningkatan sebanyak 70.7 peratus.

"Ini amat luar biasa dan juga meragukan, " katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Penyandang kerusi Parlimen Keningau itu telah dimaklumkan bahawa jumlah pengundi Undi18 di Keningau kurang daripada 8,000.

"Adalah mustahil kita boleh mencapai peningkatan sebanyak 30,000 dalam tempoh kurang dari lima tahun. Macam ada yang tidak betul,” katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, SAPP menggesa pihak berkuasa menyiasat lonjakan jumlah pengundi secara mendadak di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Siasatan itu susulan daripada jumlah daftar pemilih terbaharu yang dikeluarkan SPR mendedahkan peningkatan sebanyak 53.9 peratus (atau 574,120) dalam pengundi baharu, daripada 1,064,686 pada 2008 kepada 1,638,806 pada 2022.