Cikgu Fadli anggap perjuangan belum selesai

Guru Fadli menyifatkan perjuangan beliau masih belum selesai meskipun Lembaga Tatatertib KPM putuskannya tidak bersalah dan tiada sebarang tindakan tatatertib diambil.
Guru Fadli menyifatkan perjuangan beliau masih belum selesai meskipun Lembaga Tatatertib KPM putuskannya tidak bersalah dan tiada sebarang tindakan tatatertib diambil.
A
A
A

SHAH ALAM - Guru matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh menyifatkan perjuangan beliau masih belum selesai meskipun Lembaga Tatatertib Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskannya tidak bersalah dan tiada sebarang tindakan tatatertib diambil.

Menurutnya, sebagai mana ditegaskan sebelum ini, apa pun keputusan yang dibuat KPM terhadap dirinya bukan fokus utama sebaliknya perlu tertumpu kepada kelemahan sistem pendidikan yang perlu diperbaiki.

"Sama ada saya dikatakan bersalah atau tidak, itu nombor dua. Kalau tak bersalah alhamdulillah rezeki seperti mana dah terbukti tak salah. Alhamdulillah rezeki.

"Namun yang pertama, tolong jangan lari pada fokus. Fokusnya apa? Fokusnya ada kelemahan dan kerosakan dalam sistem kita bukan saja sistem pendidikan sahaja tapi saya fokus pada pendidikanlah sebab saya dalam pendidikan.

"Kelemahan ini kita sangat berharap diubah. Ada tindakan susulan daripada kes viralnya saya ni, ada tindakan, ada perubahan yang ke arah kebaikan. Itu je yang saya nak. Saya bukan nak apa-apa. Saya nak generasi kita, anak-anak kita dapat hak mereka. pendidikan kita lebih berkualiti," katanya menerusi siaran secara langsung di Facebooknya pada Selasa.

Tambah beliau, sukar untuk melakukan perubahan selagi terdapat sebahagian mereka yang mempunyai kuasa menekan bawahan supaya meneruskan budaya yang tidak sihat.

"Surat itu tak sepatutnya sampai kerana tak setimpal dengan kesalahan. Ia tak masuk akal melainkan ada tangan ghaib yang mampu mempengaruhi yang benar-benar berkuasa mampu mempengaruhi untuk keluarkan.

"Tangan ini masih wujud di atas sana dan mereka perlu disingkirkan daripada sistem. Minta mereka bersara awal. Lantik mereka yang berintegriti. Itu tujuan saya. Perjuangan saya di situ. Perjuangan saya bukan untuk dapat jadi cikgu balik atau didapati tidak salah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau menzahirkan rasa syukur atas keputusan tersebut dan berterima kasih kepada lembaga tatatertib yang bersidang dengan jujur dan amanah.

Menerusi hantaran di Facebook sebelum itu, beliau meminta agar mana-mana pihak yang menyebarkan surat keputusan lembaga tatatertib KPM menarik balik gambar surat berkenaan kerana merupakan dokumen sulit.