[VIDEO] Noh serah kepada pucuk pimpinan untuk pertahan Tanjong Karang

Noh
Noh
A
A
A

TANJONG KARANG - Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar menyerahkan kepada pucuk pimpinan menentukan sama ada beliau terus mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong Karang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau memberitahu, paling penting sebagai umat Islam beliau juga percaya dan meletakkan sepenuhnya kepada takdir ALLAH.

"Malah, saya sendiri dipilih untuk bertanding kerusi Parlimen semasa saya menjawat jawatan hanya sebagai naib ketua Pemuda UMNO Bahagian Tanjong Karang pada tahun 1995," katanya pada Seminar Pembangunan Kapasiti Kontraktor (SPKK) di Institut Pengurusan Peladang (IPP) Sungai Kajang di sini pada Selasa.

Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, beliau juga bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat di Parlimen Tanjong Karang sekiranya dipilih BN pada PRU15.

"Jika saya terpilih sebagai calon, jadi calonlah. Apa pun kita tunggu nama yang akan diumumkan nanti," jelas beliau.

Menurut Noh, soal calon hanya diketuai pucuk pimpinan dan beliau sendiri tidak mengetahui sama ada menjadi calon atau sebaliknya.

"Insya-ALLAH, lagipun di Selangor ini hanya saya Ahli Parlimen (BN) dan segalanya terpulang kepada pucuk pimpinan parti," ujarnya.

Noh memberitahu, sebagai bekas Ahli Parlimen kawasan itu beliau sudah memberikan khidmat terbaik kepada rakyat sepanjang enam penggal mempertahankan kerusi terbabit.

Artikel Berkaitan:

Noh berjaya mempertahankan kemenangan di Parlimen sejak tahun 1995 iaitu pada PRU9 sehingga PRU14.

Pada PRU14 lalu, Noh yang juga calon BN-UMNO memperoleh majoriti 1,970 undi selepas menewaskan Zulkafperi Hanapi daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan calon Pas iaitu Nor Az Azlan Ahmad.