Exco Kedah persoal dihalang hadiri program Lembaga Pengelola Sekolah

Exco Kedah, Wong Chia Zhen
Exco Kedah, Wong Chia Zhen
A
A
A

ALOR SETAR - Exco Kedah, Wong Chia Zhen mempersoalkan arahan melarang pemimpin negeri itu menyertai program anjuran Lembaga Pengelola Sekolah walaupun dilaksanakan di luar sesi persekolahan.

Chia Zhen yang mempengerusikan portfolio Sumber Manusia, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam serta Badan Bukan Kerajaan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim itu mendakwa, sekiranya beliau hadir, murid terlibat didakwa menerima nasib dengan tidak diberikan markah kokurikulum.

"Pada sidang-sidang yang lalu, saya telah membangkitkan perkara ini berkali-kali. Hari ini saya ingin katakan, saya sudah boleh terima. Jika Kementerian Pendidikan mahu ahli politik tidak masuk sekolah, saya akan patuh tetapi tolong jangan usik Lembaga Pengelola Sekolah," katanya ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Selasa.

Menurutnya, pada 29 Oktober lalu, Lembaga Pengelola Sekolah Cina Kedah Selatan menganjurkan satu program persembahan kebudayaan dan tarian untuk sekolah Cina di kawasan berkenaan.

"Program itu diadakan di sebuah dewan di luar kawasan sekolah. Saya telah dijemput dan bersetuju untuk hadir merasmikan majlis berkenaan tetapi pada saat-saat akhir, saya dimaklumkan bahawa saya dilarang hadir.

"Seperti yang dimaklumkan oleh Lembaga Pengelola dalam kenyataan akhbar mereka, ini adalah arahan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah. Bukan setakat itu, pihak penganjur turut diberi amaran, jika nama saya tercatat dalam senarai penghargaan, mereka tidak akan dibenarkan menganjurkan program seumpama ini lagi. Jika arahan ini tidak dipatuhi, program tidak akan disahkan oleh JPN dan murid tidak mendapat markah kokurikulum," katanya.

Jelasnya, tindakan terbabit dirasakan tidak adil kerana turut menjejaskan markah dan pencapaian murid.

"Kalau setakat itu pun tidak dibenarkan, saya boleh terima nasib saya tetapi murid-murid yang terlibat tarian dan mempersembahkan budaya mereka, apa salah mereka?," soalnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perbezaan politik orang dewasa tidak sepatutnya dijadikan beban kepada institusi pendidikan dan anak-anak.

Artikel Berkaitan:

"Hukumlah saya jika itu yang mahu dibuat. Tetapi jangan hukum mereka yang hanya ingin mahu mendidik anak-anak kita. Sekolah ialah tempat anak-anak belajar menari, menyanyi dan membesar, bukan tempat orang dewasa bertarung," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!