Beri peluang kepada BN kembali tadbir Selangor

Noh bersama penerima pada Majlis Penyampaian Sumbangan Deepavali Parlimen Tanjong Karang di Kuil Sri Mahariaman Parit 4, Tanjong Karang pada Isnin.
Noh bersama penerima pada Majlis Penyampaian Sumbangan Deepavali Parlimen Tanjong Karang di Kuil Sri Mahariaman Parit 4, Tanjong Karang pada Isnin.
A
A
A

TANJONG KARANG - Rakyat di Selangor perlu memberi peluang kepada BN kembali mentadbir negeri ini bagi menunjukkan kecemerlangan yang pernah dilakukan semasa pentadbirannya sebelum tahun 2008.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, tiada kejayaan boleh dibanggakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepanjang pemerintahan parti itu selama tiga penggal di negeri Selangor berbanding dengan kejayaan dibawa BN untuk membangunkan negeri ini suatu masa dahulu.

"Sebagai contoh, jika dulu kita ada Yayasan Selangor yang saya lihat ketika ini tidak sehebat seperti kita (BN) dulu yang dilengkapi asrama dan kemudahan lain," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Deepavali Parlimen Tanjong Karang di Kuil Sri Mahariaman Parit 4 di sini pada Isnin.

Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, antara pembangunan lain dibawa ialah Stadium Shah Alam yang ketika itu menjadi salah satu daripada lambang kebanggaan di negeri ini.

"Kita buat stadium tetapi itu pun tidak dijaga semasa pemerintahan PH dan begitu juga bangunan dibuat oleh kerajaan negeri kita lihat banyak ada kelemahan.

"Saya tidak tahu apa kemegahan selama PH memerintah, sama ada ketika (Datuk Seri) Mohamed Azmin Ali sebagai menteri besar atau pun Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) pada masa sekarang," jelas beliau.

Katanya, beberapa pendekatan dilakukan BN untuk membantu rakyat di Selangor meskipun tidak mentadbir negeri itu.

"Sebagai contoh semasa saya sebagai menteri kabinet mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memansuhkan tol Batu Tiga, Shah Alam.

Artikel Berkaitan:

"Saya masih ingat dalam kabinet saya merayu kepada Najib minta tutup tol Batu Tiga kerana tidak lagi sesuai, namun Najib baik hati apabila beliau menutup dua tol bukan sahaja tol Batu Tiga tetapi juga tol Sungai Rasah," ujar beliau.

Noh menjelaskan, lebih penting rakyat mesti mengetahui apa usaha yang telah BN lakukan untuk membantu rakyat di negeri ini.

Malah katanya, semasa beliau dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga banyak peruntukan dibelanjakan kerajaan Persekutuan untuk baik pulih rumah kos rendah.

"Saya sendiri turun padang ke Taman Medan, PPR Selayang, Gombak dan Petaling untuk melihat sendiri keadaan di kawasan tersebut.

"Semasa tinjauan ke rumah terbabit amat mengejutkan kerana ketiadaan lif dan bangunan usang," katanya.