Najib cabar kerajaan dedah perjanjian pembelian saham EHP

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencabar kerajaan untuk mendedahkan tentang perjanjian pembelian saham syarikat Indonesia, Eagle High Plantations (EHP).

Beliau berkata, kerajaan telah membuat tuduhan terhadap beliau menipu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk membeli kepentingan dalam syarikat tersebut sehingga agensi tersebut mengalami kerugian.

"Sudah-sudah dengan menipu rakyat dengan memainkan propaganda untuk menyerang saya. Dedahkan sahaja perjanjian pembelian itu.

'Dan mengaku sahaja bahawa sebab utama Felda mengalami kerugian besar sekarang ialah kerana harga sawit jatuh sehingga di bawah kos pengeluaran selepas Pilihan Raya Umum Ke-14," katanya menerusi satu hantaran di laman Facebooknya.

Media melaporkan Felda menerusi Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Othman Omar telah membuat satu laporan polis dengan mendakwa telah ditipu dan 'dipaksa' oleh Najib dalam pembelian saham EHP.

Dalam laporan polis tersebut, Najib yang juga Menteri Kewangan ketika itu telah mengarahkan agensi tersebut membuat transaksi pada 2015 melalui syarikat tujuan khas (SPV) FIC Properties Sdn Bhd (FPSB) untuk membeli 37 peratus saham EHP pada harga AS$505 juta (RM2.3 bilion), di mana nilai saham itu hanya AS$114 juta.

Sementara itu, Najib berkata, pada awal Februari lalu, kerajaan mendedahkan mengenai 'put option' atau cadangan untuk menjual aset pada harga yang dipersetujui pada atau sebelum sesuatu tarikh untuk perjanjian pembelian ini tetapi mereka tetap membisu.

"Pembelian itu dilengkapi dengan ‘put option’ yang membolehkan kita menjual semula kepentingan 37 peratus ekuiti itu pada harga beli asal bersama dengan caj faedah tahunan 6 peratus ditanggung oleh penjual Indonesia itu.

Artikel Berkaitan:

"Dalam erti kata lain, kalau kita tak mahu teruskan pelaburan itu, kita boleh tuntut balik semua wang yang kita bayar bersama dengan faedah 6 peratus setiap tahun. Wang yang kita bayar dahulu juga dipinjam melalui bon dengan kaedah faedah 3.85 peratus," ujarnya.

Jelasnya, jika syarikat itu berjaya dan harga sawit pulih maka pelaburan tersebut akan untung lebih banyak dan kerajaan masih untung jika menjual balik aset tersebut kerana faedah yang dikenakan kepada mereka adalah lebih tinggi dari kos hutang Felda.

"Maka, wang rakyat tetap terpelihara dan kita tidak akan rugi sekaligus membuktikan tohmahan kerajaan bahawa Felda akan rugi dengan membeli Eagle High ialah satu lagi fitnah," ujarnya.