BDB sedia pelan tangani risiko banjir di LRA Pelubang

Kerja-kerja pemasangan paip dilakukan di sekitar LRA Pelubang. Gambar kecil: Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli
Kerja-kerja pemasangan paip dilakukan di sekitar LRA Pelubang. Gambar kecil: Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli
A
A
A

ALOR SETAR - Bina Darulaman Berhad (BDB) menyediakan pelan awal sebagai persediaan bagi menghadapi kemungkinan berlakunya bencana banjir di sekitar kawasan projek menaik taraf dan pemasangan jajaran-jajaran paip baru Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli berkata, BDB menerusi anak syarikatnya BDB Synergy Sdn Bhd (BDB Synergy) selaku kontraktor utama projek telah bersedia dengan langkah-langkah kawalan dan pencegahan bagi berdepan musim tengkujuh dijangka melanda nanti.

Mohd Iskandar memaklumkan, kerja pemasangan paip air kini sedang giat dijalankan di tiga jajaran kawasan iaitu Sungai Baru ke Kuala Sungai, Bukit Tinggi ke Kuala Kedah dan Bukit Mengkuang ke Bukit Kayu Hitam, selain kerja pembinaan di LRA Pelubang.

“Kami akan memastikan air daripada kerja pemasangan paip tidak akan mengalir ke kawasan sawah padi di setiap kawasan yang terlibat dan setiap kawasan korekan bagi pemasangan paip juga akan ditutup setelah selesai kerja pada hari tersebut bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti kemalangan dan sebagainya.

“Selain itu, pergerakan air di kawasan parit dan sawah sekitar projek juga akan dipantau secara berkala bagi memastikan tiada sekatan kepada pengaliran air, " katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, BDB Synergy akan membersihkan serta mengorek parit yang terlibat dengan pemasangan paip ini bagi mengurangkan risiko berlakunya banjir sekiranya hujan lebat melanda kawasan tersebut.

“Malah, bidang kuasa Jawatankuasa Pengurusan Projek yang diketuai Pengarah Eksekutif BDB Synergy, Tahir Md Zin juga telah diperluaskan bagi memantau risiko kebarangkalian berlakunya banjir atau sebarang insiden yang tidak diingini dalam tempoh projek dilaksanakan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Iskandar berkata, BDB Synergy juga telah menyediakan 'hotline' aduan khas bagi membolehkan tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk setempat terjaga.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, papan tanda talian aduan tersebut telah pun dipasang di setiap jajaran paip terlibat, sekali gus menunjukkan bahawa BDB serius dalam memastikan tahap keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk setempat terjamin sepanjang projek berkenaan dijalankan.

“Justeru, saya menyeru kepada orang ramai untuk menghubungi hotline aduan berkenaan atau talian bencana yang disediakan oleh kerajaan Kedah sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini atau untuk melaporkan sebarang kemalangan yang berlaku di kawasan projek tersebut, “katanya.

Untuk rekod, kerajaan Kedah telah melantik BDB Synergy sebagai kontraktor utama projek menaik taraf LRA Pelubang dan pemasangan jajaran paip bernilai RM431 juta pada 20 Mei 2021.

BDB Synergy sebelum ini turut mempunyai rekod yang baik dalam menyiapkan pembinaan LRA apabila telah berjaya menyiapkan LRA Pokok Sena pada 2018, selain terlibat dalam projek LRA Kuala Ketil pada 2005 dan menaik taraf saluran paip dari Gurun ke Jeniang serta Sik ke Baling.