Jalan Kampung Tanjung terputus akibat banjir

Zubir (kiri) meninjau jalan di Kampung Tanjung, mukim Ulu Melaka,Langkawi yang terputus akibat banjir.
Zubir (kiri) meninjau jalan di Kampung Tanjung, mukim Ulu Melaka,Langkawi yang terputus akibat banjir.
A
A
A

ALOR SETAR – Kejadian banjir berikutan hujan berterusan dan angin kencang di Langkawi pada Ahad dipercayai menjadi punca jalan yang menghubungkan penduduk di Kampung Tanjung, mukim Ulu Melaka terputus.

Yang Dipertua Pas Langkawi, Zubir Ahmad berkata, penduduk terlibat kini perlu menggunakan laluan alternatif.

Zubir berkata, beliau bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Ulu Melaka mengadakan perbincangan bagi mencari penyelesaian selepas menerima maklumat berhubung keadaan jalan terputus itu.

“Hasil tinjauan mendapati laluan berkenaan semakin tidak selamat untuk digunakan penduduk setempat selepas runtuh akibat banjir melanda di kawasan tersebut.

“Kami telah memaklumkan perkara ini kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, Zubir memaklumkan, seramai 12 keluarga di Pulau Tuba didapati terkesan akibat banjir yang melanda pulau berkenaan pada Ahad.

“Saya bersama ahli jawatankuasa (AJK) Pas Langkawi menyampaikan sumbangan barangan keperluan seperti kipas, selimut dan toto bagi meringankan bebanan mangsa,” katanya.

Ujar beliau, Pas Langkawi turut prihatin dengan nasib 43 mangsa yang perlu berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Syifa di Padang Matsirat, sekaligus menyumbangkan barangan keperluan seperti pemanas air untuk kegunaan mereka.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pelbagai bentuk bantuan disalurkan Pas Langkawi kepada penduduk setempat selepas kejadian banjir pada Ahad.