Gavi rangkul anugerah Kopa Trophy

Gavi bergambar bersama Kopa Trophy yang dimenanginya awal pagi Selasa. - Foto Getty Images
Gavi bergambar bersama Kopa Trophy yang dimenanginya awal pagi Selasa. - Foto Getty Images
A
A
A

PEMAIN muda Barcelona, Gavi dinobatkan sebagai pemenang Kopa Trophy (pemain muda terbaik bawah-21 tahun) dalam majlis Ballon d'Or yang berlangsung di Paris awal pagi Selasa.

Kemenangan yang diraih pemain tengah berusia 18 tahun itu menyaksikan Barcelona berjaya mengekalkan anugerah itu buat kali kedua berturut-turut selepas seorang lagi pemain tengah mereka, Pedri memenangi anugerah sama tahun lalu.

“Ia satu penghormatan untuk menerima anugerah ini. Saya mahu mendedikasikannya kepada semua pihak yang menyokong karier saya dan juga kepada kelab.

“Kepada rakan sepasukan dan jurulatih saya, yang telah memberikan saya peluang untuk berada di sini, saya ucapkan terima kasih banyak-banyak... dan Viva Barca!,” katanya.

Gavi sebelum ini menjadi tumpuan selepas menembusi pasukan utama Barcelona dan diberikan penghargaan atas prestasi cemerlangnya sepanjang musim 2021-22.

Kecemerlangan pemain muda itu turut menyaksikan dia mendapat panggilan daripada skuad kebangsaan Sepanyol dan berkemungkinan akan disenaraikan dalam skuad Sepanyol yang akan beraksi di Piala Dunia Qatar bulan depan.

Untuk rekod, Gavi setakat ini telah melakukan 34 penampilan dalam LaLiga musim lalu, dia menjaringkan dua gol dan menghasilkan enam bantuan jaringan.

Artikel Berkaitan:

Pemain tengah Real Madrid, Eduardo Camavinga, muncul pemain kedua terbaik anugerah itu manakala Jamal Musiala daripada Bayern Munich pula menduduki tangga ketiga di atas Jude Bellingham (Borussia Dortmund) dan Nuno Mendes (Paris Saint-Germain).

Sementara itu bintang Senegal dan Bayern Munich, Sadio Mane menerima anugerah Socrates yang diperkenalkan buat pertama kali oleh majalah France Football.

Penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois memenangi anugerah penjaga gol terbaik yang dinamakan sempena nama legenda Kesatuan Soviet, Lev Yashin.

Untuk anugerah Ballon d'Or wanita, pemain Barcelona dan Sepanyol, Alexia Putellas mempertahankan gelaran yang dimenanginya tahun lalu selepas berjaya membawa kelab ke final Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.