Lelaki kurang siuman mengamuk panjat bumbung rumah

Tular gambar di media sosial anggota bomba dan polis sedang memujuk seorang lelaki mengamuk di atas bumbung rumah.
Tular gambar di media sosial anggota bomba dan polis sedang memujuk seorang lelaki mengamuk di atas bumbung rumah.
A
A
A

MELAKA - Seorang lelaki disyaki kurang siuman mengamuk dan mencederakan isterinya di Kampung Bukit Tempayan Tanjung Kling di sini, pada Isnin.

Kejadian jam 11.30 pagi itu tular di media sosial yang menunjukkan lelaki berusia 37 tahun berada di atas bumbung rumah sambil beberapa anggota bomba sedang memujuknya dari bawah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, Balai Polis Tanjung Kling menerima aduan berhubung insiden itu dan bergegas ke lokasi sebelum mendapati suspek bersenjatakan dua bilah pisau pemotong daging berada di atas bumbung.

Menurutnya, berdasarkan temubual dengan isteri suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai memberitahu dia telah ditumbuk di bahagian mata oleh suspek ketika berada di luar rumah, bagaimanapun ketiga-tiga anaknya berusia antara 10 hingga 13 tahun tidak dicederakan suspek.

Katanya, hasil keterangan isteri suspek juga memaklumkan suaminya pernah mendapat rawatan psikiatri di Hospital Melaka dan insiden itu dipercayai berlaku kerana suspek telah lama tidak mengambil ubat yang dibekalkan oleh hospital.

"Ketua polis balai bersama dua anggota polis cuba memujuk suspek namun suspek telah mencampakkan sebilah pisau ke bawah dan sebilah pisau masih dipegangnya.

"Keadaan kedudukan bumbung rumah sukar untuk kita naik memujuk suspek dari jarak dekat, dan beliau telah meminta bantuan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu," katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, pelbagai usaha telah dilakukan untuk memujuk suspek termasuk meminta bantuan anak-anaknya namun masih tidak berjaya selain suspek bertindak agresif.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, berapa jam kemudian berlaku pergelutan di antara suspek dan anggota polis serta bantuan anggota bomba atas bumbung rumah, sebelum suspek berjaya digari dan dibawa turun dengan selamat pada jam 1.40 petang.

"Pergelutan berlaku selepas suspek bertindak agresif hingga menyebabkan beberapa keping atap jenis abastos pecah.

"Suspek berjaya diturunkan dengan bantuan pasukan bomba sebelum dihantar ke hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan termasuk kecederaan yang dialami di bahagian kening," kata beliau lagi.