Dituduh buat kecoh, Pemuda UMNO Muar lapor polis

Mohd Helmy ketika membuat laporan polis di Balai Polis Muar pada petang Isnin.
Mohd Helmy ketika membuat laporan polis di Balai Polis Muar pada petang Isnin.
A
A
A

MUAR - Ketua Pemuda UMNO Bahagian Muar, Mohd Helmy Abd Latif membuat laporan polis terhadap Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan beberapa kepimpinan parti berkenaan yang membuat tuduhan tidak berasas terhadap sayap parti itu.

Menurut Mohd Helmy, laporan polis itu dibuat berikutan Syed Saddiq dan beberapa kepimpinan Muda mendakwa bahawa Pemuda UMNO terlibat membuat provokasi dan kekacauan ketika Ceramah Mega Muar anjuran parti berkenaan di Parit Jawa, di sini sedang berlangsung pada malam Ahad.

"Hari ini saya telah membuat satu laporan polis terhadap Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan beberapa kepimpinan Muda yang mendakwa Pemuda UMNO telah membuat provokasi dan kekacauan ketika Ceramah Mega Muar Muda sedang berlangsung semalam.

"Tuduhan ini dikemukakan dalam bentuk ucapan dan beberapa paparan dalam laman Twitter yang menuduh Pemuda UMNO sebagai kumpulan yang mencetuskan kekecohan semasa beliau (Syed Saddiq) sedang berucap di pekarangan Pejabat Parti Muda Muar, semalam (Ahad).

"Selaku Ketua Pemuda UMNO Muar, saya menegaskan bahawa Pemuda UMNO Muar khasnya dan Pemuda UMNO secara keseluruhannya menolak politik secara provokasi sebegini dan ia adalah budaya yang tidak diamalkan oleh Pemuda UMNO," katanya ketika membuat laporan di Balai Polis Muar petang Isnin.

Pada Ahad, Ceramah Mega Muar anjuran Muda terganggu dengan insiden provokasi daripada sekumpulan 'mat motor' yang tidak dikenali.

Insiden provokasi berkenaan yang turut tular di media sosial itu turut memaparkan kumpulan terbabit mencemuh Presiden Muda yang juga bekas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman sebagai 'penipu.'

Bagaimanapun, polis berjaya mengawal keadaan dan ceramah berkenaan dapat disambung tanpa berlaku perkara yang tidak diingini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Helmy menegaskan agak mustahil bagi Pemuda UMNO Muar terlibat dalam insiden provokasi berkenaan.

Malah katanya, keseluruhan jentera Pemuda UMNO Bahagian Muar terlibat secara langsung dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO dan juga Pelancaran Jentera Pilihan Raya pada hari berkenaan.

"Secara logiknya, mustahil bagi kami untuk meluangkan masa melakukan sesuatu yang tidak langsung mendatangkan faedah kepada parti.

"Justeru, melihat kepada usaha untuk melemparkan fitnah amat mudah oleh pimpinan Muda ini, saya mengambil keputusan untuk membuat laporan polis dan saya juga telah berbincang dengan peguam saya untuk membuat tindakan saman terhadap mereka yang telah menuduh Pemuda UMNO dalam kes ini," katanya.