Silibus murid tahap satu, perlu ambil kira kemampuan

Gambar hiasan (Gambar kecil: Hasnah Toran)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Hasnah Toran)
A
A
A

SHAH ALAM - Silibus pembelajaran murid sekolah rendah tahap satu sepatutnya mengambil kira tahap kemampuan mereka dan tidak bersifat terlalu sukar sehingga membebankan.

Menurut Pakar Pendidikan, Profesor Madya Dr Hasnah Toran, ia kerana, murid di tahap satu sebenarnya perlu terlebih dahulu menguasai kemahiran asas seperti mengira dan mengeja.

Ujar Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, silibus murid di tahap satu kini diakui terlalu rumit dan tidak bersesuaian dengan daya intelektual mereka.

“Silibus yang terlalu tinggi akan menyukarkan mereka memahaminya dan berisiko menyebabkan mereka keciciran pula dalam kemahiran asas.

“Pembuat dasar sepatutnya kena fikir untuk memantapkan kemahiran tersebut dahulu dalam diri murid berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Hasnah memberitahu, tidak semua dalam kalangan mereka mempunyai daya intelektual yang sama disebabkan latar kehidupan berbeza terutama pelajar tahap satu di luar bandar.

“Ramai dalam kalangan murid tahap satu yang tinggal di luar bandar tidak mendapat pendidikan awal sebenarnya. Ketika mereka baru sahaja memasuki alam persekolahan, cara pegang pensil pun mereka tidak tahu,” ujarnya.

Jelas beliau, apa sahaja silibus terbaru yang ingin dilaksanakan dalam dasar pendidikan perlu juga mengambil kira kemampuan emosi para murid.

Artikel Berkaitan:

“Kadang-kadang, kita rasa perlu terkehadapan dalam soal pendidikan sehinggakan silibus pelajaran darjah empat kita bawa kepada pelajar darjah dua. Adakah kita terfikir mereka mampu menghadapinya?,” soalnya.

Ulas Hasnah, ia boleh menyebabkan diri murid menjadi tertekan dan menjatuhkan semangat mereka dalam pembelajaran.

“Akhirnya mereka rasa diri mereka kurang pandai dan tidak berguna serta tiada rasa minat lagi untuk belajar,” tambah beliau.