IPPT hasilkan bra mastektomi untuk pesakit kanser

Bakiah (kiri) dan Hasmah menunjukkan cara penggunaan bra mastektomi dan prostesis semasa Program Pink October-High Tea sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia di Sungai Petani pada Sabtu.
Bakiah (kiri) dan Hasmah menunjukkan cara penggunaan bra mastektomi dan prostesis semasa Program Pink October-High Tea sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia di Sungai Petani pada Sabtu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) menghasilkan bra mastektomi dalam usaha membantu pesakit kanser payudara menghadapi perubahan diri, dalam masa sama meningkatkan keyakinan mereka dalam masyarakat.

Pakar Oftalmologi IPPT, Prof Madya Dr Bakiah Shaharuddin berkata, seramai 25 sukarelawan telah menjahit bra mastektomi dan sebanyak 65 pasang berjaya dihasilkan serta disumbangkan kepada ahli Cancer Survivors Malaysia (CSM) yang terdiri daripada golongan B40.

Menurut Dr Bakiah, kebanyakan wanita berdepan halangan untuk pemakaian prostesis dan bra khas ini mungkin disebabkan oleh kurang pengetahuan, faktor sosial dan kewangan.

"Justeru, satu projek dilaksanakan dalam usaha menghasilkan bra yang sesuai kepada wanita selepas mastektomi iaitu pembedahan buang payudara untuk dipadankan dengan prostesis," katanya ketika ditemui hadir ke Program Pink October-High Tea sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia di sini pada Sabtu.

Hadir sama Pakar Bedah Am dan Payudara Pusat Perubatan USM dan Pensyarah IPPT, Dr Hasmah Hussin dan Pengerusi CSM, Zuraini Kamal.

Mengulas lanjut, Dr Bakiah berkata, inisiatif itu juga menyokong keseimbangan tulang belakang, bahu dan dada selain mengurangkan serta mencegah masalah postur, leher dan belakang.

"Pesakit kanser payudara berkemungkinan berdepan masalah kurang keyakinan, rendah diri, kemurungan, isu imej badan dan juga cabaran seksualiti.

"Perubahan pada payudara selepas menjalani pembedahan dan persepsi kewanitaan mereka boleh mengakibatkan kemerosotan kualiti hidup.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, pemakaian prostesis payudara dan bra mastektomi mampu memulihkan harga diri, tahap keyakinan, kewanitaan dan seksualiti pesakit kanser payudara," katanya.