60 NGO anti-Lynas serah memorandum kepada PM esok

Bun Teet
Bun Teet
A
A
A

KUANTAN - Lebih 60 NGO di seluruh negara akan menyerahkan memorandum bagi membolehkan pihak kerajaan membuat keputusan agar segera menyelesaikan sisa buangan nadir bumi yang diproses Lynas Corporation Ltd (Lynas) di Parlimen esok.

Antara NGO yang terlibat ialah Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), Himpunan Hijau, Greenpeace Malaysia, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS Malaysia), Sahabat Alam Malaysia (SAM),Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP),North South Initiative, Center for Orang Asli Concerns (COAC), SMSL Segamat, Stop Lynas Coalition dan Gelombang Hijau.

Pengerusi SMSL, Tan Bun Teet yang mewakili semua NGO berkata, memorandum terbabit akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin, ahli parlimen dan Jawatankuasa Kaukus Parlimen Pantau Lynas (JKPPL) atas pendirian mengenai isu pengurusan sisa Lynas.

“Memorandum yang akan diserahkan kepada mereka kira-kira 10 pagi esok di Parlimen sebagai desakan dan ingatkan kepada kerajaan agar segera menyelesaikan isu Lynas di Kuantan.

“Sebolehnya kita mahu sisa buangan Lynas ini segera diselesaikan oleh kerajaan sebagai mana janji mereka dalam manifesto PH untuk 'Mengimbangi Pembangunan Ekonomi dengan Perlindungan Alam Sekitar' demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta alam sekitar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada 5 April lalu, Tun Mahathir memaklumkan bahawa Lynas boleh terus beroperasi di Malaysia, dengan syarat bahan mentah yang dibawa ke negara ini dibersih dan dihapuskan radioaktif terlebih dahulu.

Katanya, Malaysia akan membuka perniagaan perlombongan nadir bumi ke syarikat lain dan mereka hanya dibenarkan beroperasi jika mematuhi syarat-syarat kerajaan.

Mengulas lanjut kenyataan itu, Bun Teet berkata, isu penghantaran sisa buangan Lynas perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

Justeru, kerajaan perlu menggesa Lynas agar segera mengeluarkan sisa buangan tersebut seperti mana arahan sebelum ini.

Katanya, jika pihak Australia tidak mahu menerima sisa buangan terbabit, kerajaan seharusnya meminta Lynas menguruskan sisa berkenaan dengan segera.

“Kita tidak mahu perkara ini dilengah-lengahkan kerana sisa buangan terbabit berbahaya kepada seluruh warga Kuantan,” katanya.