ADUN Kuamut, Pitas nafi tinggalkan GRS

Masiung Banah (kiri) dan Ruddy Awah nafi dakwaan tinggalkan GRS.
Masiung Banah (kiri) dan Ruddy Awah nafi dakwaan tinggalkan GRS.
A
A
A

TONGOD - Ahli Dewan Undangan Negeri Kuamut (ADUN), Datuk Masiung Banah menafikan dakwaan bahawa beliau antara yang akan meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Penafian itu dibuat selepas tular di media sosial bahawa beliau antara empat ADUN yang dikatakan bakal mengikut jejak ADUN Bandau, Datuk Wetrom Bahanda yang didakwa keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Saya tetap berpendirian teguh dan menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS.

"Secara logiknya, bagaimana saya keluar GRS sedangkan saya masih ADUN Bebas, tidak menyertai mana-mana parti dalam GRS. Saya cuma anggota mesra GRS," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menjelaskan kenapa beliau gagal dihubungi, Masiung berkata, beliau berada di dalam kawasan untuk bertemu dengan penduduk kampung pada petang Ahad.

"Petang semalam saya berada di kawasan mengunjungi penduduk kampung yang meninggal dunia. Jadi mungkin ramai gagal menghubungi saya kerana tidak semua kawasan di Tongod mempunyai capaian internet," jelasnya.

Menurut Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu lagi, isu tersebut mungkin sengaja ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab menjelang pilihan raya umum (PRU) dengan tujuan jahat.

"Saya hanya mengetahui perkata itu, apabila Pegawai Komunikasi dan Media saya, Yussof Imbang menghubungi saya lewat tengah malam semalam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ADUN Pitas, Datuk Ruddy Awah turut menafikan sekeras-kerasnya berhubung mesej yang tular bahawa beliau empat ADUN yang dikatakan mengikut jejak Wetrom.

"Itu sebenarnya saya sudah nafikan sekeras-kerasnya tidak pernah pun saya berbincang perkara ini, tiba-tiba nama saya ada disitu.

"Saya tegaskan di sini, saya tetap bersama GRS, Bersatu dan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. Malah saya ada di kawasan hadir pada program GRS di Kota Marudu dan Matunggong," katanya.

Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu turut menjelaskan bahawa beliau tidak pergi ke Kota Kinabalu untuk atau berjumpa dengan sesiapa pun.

"Saya tidak pernah ke Kota Kinabalu sejak beberapa hari ini, saya tidak ada berhubung dengan sesiapa," jelasnya.

Sebelum itu, tular di media sosial terdapat empat lagi ADUN akan keluar daripada GRS termasuk ADUN Kemabong, Datuk Robin Balang dan ADUN Nabawan, Datuk Ghani Mohamed Yassin.

Pada Sabtu lalu, tular di media sosial Wetrom dikatakan keluar daripada Bersatu dan menyertai Parti Warisan (Warisan).

Perkara itu kemudian disahkan oleh Timbalan Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun namun Ketuanya, Hajiji belum menerima sebarang surat peletakan jawatan Wetrom.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengesahkan bahawa Wetrom bertemu dengannya dan menyatakan hasrat untuk menyertai Warisan.