DUN Perak bubar

Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akhirnya dibubarkan berkuat kuasa Isnin.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akhirnya dibubarkan berkuat kuasa Isnin.
A
A
A

TAPAH - [DIKEMAS KINI] Selepas hampir seminggu penantian penuh debar, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akhirnya dibubarkan berkuat kuasa pada Isnin.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam sidang akhbar di Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang dekat sini selepas mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaras selaras dengan Fasal (2), Perkara XXXVI, Bahagian Pertama, Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

"Sukacita saya maklumkan bahawa saya telah menerima warkah pengisytiharan daripada Sultan Perak yang membawa maksud baginda telah memberi perkenan Dewan Negeri Perak ke-14 dibubarkan berkuat kuasa hari ini (Isnin), 17 Oktober 2022," katanya.

Pembubaran ini membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) susulan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen, 10 Oktober lepas.

Perak mengikut jejak dua lagi negeri ditadbir kerajaan BN iaitu Perlis dan Pahang yang membuat keputusan membubarkan DUN masing-masing pada Khamis dan Jumaat lalu.

Perak sebelum ini menjadi satu-satunya negeri ditadbir oleh BN yang belum mendapat perkenan sultannya bagi pembubaran DUN.

Pada 12 Oktober lepas, Saarani telah menyembah warkah permohonan pembubaran DUN Perak ke-14 untuk pertimbangan Sultan Perak dan baginda bertitah, sebarang ketetapan mengenai permohonan pembubaran Dewan Negeri diumumkan selepas baginda berkenan membuat keputusan.

Selepas PRU14 lalu, pentadbiran kerajaan Perak yang diwakili 59 kerusi DUN telah bertukar sebanyak tiga kali.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan bersilih ganti dalam penggal yang sama disebabkan krisis parti menyebabkan berlakunya hilang sokongan dan majoriti dalam DUN.

Pakatan Harapan (PH) terdiri Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menang di 29 kerusi mendapat mandat membentuk kerajaan selepas memperolehi majoriti mudah 31 kerusi DUN.

Mandat itu diperoleh setelah dua pemenang kerusi DUN BN memilih untuk menyertai PH sekaligus bersetuju atas pelantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada Bersatu sebagai Menteri Besar.

Pada Mac 2020, kerajaan PH yang terbentuk pada Mei 2018 tumbang selepas 32 ADUN bersetuju membentuk kerajaan baharu hasil gabungan wakil rakyat UMNO (25 kerusi), Pas (3 kerusi) dan Bersatu (4 kerusi).

Gabungan tiga parti di bawah Perikatan Nasional (PN) itu masih mengekalkan Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang sebagai Menteri Besar.

Bagaimanapun, selepas kira-kira sembilan bulan, politik Perak pada Disember 2020 kembali bergolak apabila Ahmad Faizal gagal melepasi usul 'undi percaya' terhadap kepemimpinannya yang dikemukakan dalam Sidang DUN.

Daripada 59 ADUN, 10 menyokong usul itu manakala 48 lagi menolaknya dan satu undi rosak menerusi undi sulit diputuskan Speaker DUN, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Kemelut politik itu kemudiannya menyaksikan BN kembali menerajui kepimpinan kerajaan negeri dengan melantik ADUN Kota Tampan (UMNO), Datuk Seri Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar.

Pemilihan jawatan utama kerajaan negeri itu diselesaikan dengan hampir seminggu siri perbincangan dibuat membabitkan pelbagai parti sebelum persepakatan dicapai antara BN, Bersatu dan Pas.