Trend aras air menurun di kawasan amaran tahap bahaya di Kedah

Beberapa peniaga memeriksa barangan mereka di Pasar Awam Padang Mat Sirat yang dinaiki air ketika tinjauan malam ini. Foto Bernama
Beberapa peniaga memeriksa barangan mereka di Pasar Awam Padang Mat Sirat yang dinaiki air ketika tinjauan malam ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Amaran aras air tahap bahaya yang dikeluarkan untuk beberapa kawasan di Kedah menunjukkan trend penurunan setakat pukul 6.30 petang hari ini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.

Beliau berkata, kawasan terbabit adalah stesen Sungai Melaka di Padang Mat Sirat, stesen Sungai Melaka di Bukit Kemboja, Langkawi dan Sungai Anak Bukit di Jambatan Tunku Abdul Rahman, Kota Setar.

"Penduduk di kawasan-kawasan terlibat diingatkan untuk mematuhi nasihat pasukan keselamatan dan bersiap siaga dari semasa ke semasa, sekiranya diarahkan untuk berpindah ke pusat pemindahan banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaini berkata, beberapa kawasan lain turut terjejas banjir di daerah Langkawi melibatkan Kampung Kilim (Galeria Perdana), Kampung Ayer Hangat (Telaga Air Hangat), Kampung Sungai Itau, Kampung Bohor Merah, Kampung Teluk Yu, Kampung Bukit Kemboja, Kampung Penarak, dan Kampung Titi Changwang.

"Berlaku insiden kepala air di air terjun Telaga Tujuh akibat hujan lebat berterusan di kawasan hulu dan air larian dari kawasan bukit.

"Sehingga 6.30 petang, kawasan masih terjejas ialah Pasar Awam Padang Matsirat, Kampung Bohor Masjid, Kampung Nyior Chabang, Kampung Atas Padang Matsirat dengan kedalaman aras air 0.3 hingga 0.5 meter. Bagaimanapun, keadaan aras air mulai surut,” katanya.

Zaini berkata, meskipun keadaan cuaca di utara beransur baik mulai 2 petang tadi, namun Amaran Hujan Berterusan bagi utara Semenanjung masih dikekalkan sehingga esok.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan peringkat Waspada di Perlis dan Kedah iaitu di Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Padang Terap yang berkuatkuasa sehingga esok. - Bernama

Artikel Berkaitan: