Majikan perlu benarkan pekerja keluar mengundi

Saravanan (dua dari kanan) ketika menyampaikan sumbangan Deepavali kepada penduduk Parlimen Tapah pada Ahad.
Saravanan (dua dari kanan) ketika menyampaikan sumbangan Deepavali kepada penduduk Parlimen Tapah pada Ahad.
A
A
A

TAPAH - Kementerian Sumber Manusia mengingatkan majikan supaya membenarkan pekerja yang berdaftar sebagai pemilih termasuk yang berusia 18 tahun keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, kebenaran itu boleh diberikan sama ada dalam bentuk cuti peristiwa, cuti ganti atau memberi masa rehat beberapa jam untuk keluar mengundi.

Menurutnya, majikan yang dikesan tidak membenarkan pekerja mereka keluar mengundi boleh dikenakan tindakan sewajarnya.

"Ini adalah hak warga Malaysia daripada 18 tahun ke atas mengundi, maka saya meminta majikan akur kepada keputusan kerajaan dan membenarkan pekerja keluar untuk mengundi

"(Jika tiada kebenaran) Kita tengoklah mereka akan diambil tindakan mengikut peraturan yang ada," katanya ketika sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan Deepavali bagi Parlimen Tapah di Dewan Mahatma Gandhi di sini pada Ahad.

Tahun ini, seramai 2,500 komuniti India daripada golongan sasar menerima sumbangan dalam bentuk duit raya dan pakaian baru.

Bekas Ahli Parlimen Tapah itu turut menyelar tindakan pembangkang yang menjadikan sambutan perayaan Deepavali sebagai isu politik hanya kerana tidak bersetuju menghadapi PRU15.

Katanya, tindakan seumpama itu sangat tidak bertanggungjawab dan dilihat hanya alasan untuk mengapi-apikan rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Ikut tradisi, SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) akan beri masa secukupnya untuk penamaan calon, undi awal dan hari pengundian.

"SPR umum tarikh selepas 20 Oktober dan hari raya pula jatuh pada 24 Oktober, bermakna selepas Deepavali kita masih ada dua hingga tiga minggu untuk persediaan PRU15.

"Pembangkang sekarang sudah tidak ada modal untuk hadapi pilihan raya, jadi mereka gunalah pelbagai alasan termasuk banjir," katanya.