'Awak keluar kereta dahulu', kata-kata terakhir Nurul Nazihah

Redzuan (dua dari kanan) menerima ucapan takziah daripada saudara terdekat selepas selesai upacara pengkebumian isterinya, Nurul Nazihah Kamalul Arifin. - Foto Bernama
Redzuan (dua dari kanan) menerima ucapan takziah daripada saudara terdekat selepas selesai upacara pengkebumian isterinya, Nurul Nazihah Kamalul Arifin. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA TINGGI - "Awak keluar kereta dulu." Itu kata-kata terakhir Nurul Nazihah Kamalul Arifin kepada suaminya sebelum wanita itu maut akibat terperangkap dalam keretanya yang terbakar selepas kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 45.7 Lebuh Raya Utara Selatan, malam tadi.

Sambil menahan sebak, suami mangsa Redzuan Jamil, 28, berkata, dia berjaya dibawa keluar oleh orang awam, sebelum dia dan orang awam cuba pula untuk membawa keluar isterinya yang masih tersepit di dalam kereta.

"Ada kemalangan di hadapan saya dan keadaan tengah sesak ketika itu. Tiba-tiba saya sedar ada impak dari belakang apabila lori lima tan rempuh kereta saya dan dua kereta lain. Saya cuba selamatkan isteri saya dengan memecahkan cermin hadapan dan pintu sebelah isteri saya tapi tak berjaya kerana dia tersepit dekat 'dashboard' dan waktu itu isteri saya masih sedar.

Redzuan Jamil. - Foto Bernama
Redzuan Jamil. - Foto Bernama

"Selepas itu, tangki kereta saya meletup dan ada orang bawa saya keluar dari situ. Ketika itu saya tak dengar isteri panggil nama saya dan saya rasa mungkin dalam tu tak panas, dia tak panggil nama saya nampak diam sahaja," katanya ketika ditemui di kediaman bapa mertuanya di Kampung Lukut, dekat sini hari ini.

Redzuan, yang mukanya terdapat luka akibat kemalangan, berkata, isterinya tidak menunjukkan sebarang kelainan atau perubahan sebelum kemalangan, namun pemergiannya sangat dirasai kerana sepanjang tempoh tiga tahun bersama, mereka tidak pernah berjauhan malah sentiasa menghabiskan masa bersama.

"Tengah hari semalam saya dari rumah di Kota Masai, sebelum ke Kluang jumpa 'client'. Saya dan isteri kemudiannya bercadang nak ke Gelang Patah untuk menyaksikan perlawanan bola sepak Johor Darul Ta'zim di Stadium Sultan Ibrahim Sultan Iskandar," katanya.

Terdahulu, tular video menunjukkan seorang lelaki meraung kesedihan dipercayai isterinya masih terperangkap di dalam kereta yang sedang terbakar di sebuah lebuh raya.

Tinjauan di rumah keluarga mangsa di Kampung Lukut mendapati suasana hiba dengan rumahnya dipenuhi ahli keluarga, sahabat handai dan jiran yang menunggu ketibaan jenazah Allahyarham.

Kamalul Arifin (tiga dari kiri) Redzuan (dua dari kiri) menyiram pusara anaknya, Nurul Nazihah yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temenin Lama, hari ini. - Foto Bernama
Kamalul Arifin (tiga dari kiri) Redzuan (dua dari kiri) menyiram pusara anaknya, Nurul Nazihah yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temenin Lama, hari ini. - Foto Bernama

Jenazah wanita berusia 28 tahun itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temenin Lama, hari ini.

Semalam, dua individu dilaporkan rentung manakala empat terselamat dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan berdekatan Sedenak, pada 7.47 malam.

Nurul Nazihah ditemukan tersepit dalam Proton Wira, manakala seorang lagi adalah mangsa dalam Toyota Vios tetapi belum dikenal pasti identitinya. - Bernama