Felda dakwa ditipu pembelian saham Eagle High Plantations

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) membuat laporan polis mendakwa ditipu dalam urusan jual beli saham syarikat Indonesia, Eagle High Plantations TPK (EHP) pada harga AS$505 juta (RM2.3 bilion) berbanding harga sebenar di pasaran pada Disember 2016.

Laporan polis itu dibuat Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Othman Omar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, semalam mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan ketika itu mengarahkan Felda membuat transaksi pada 2016 melalui syarikat tujuan khas (SPV) FIC Properties Sdn Bhd (FPSB) dengan PT Rajawali Corpora.

Menurut Othman, tawaran untuk membeli EHP yang dimiliki Tan Sri Peter Sondakh, individu yang dikatakan rakan Najib, diberikan kepada beberapa agensi termasuk FGV Bhd, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Lembaga Getah Malaysia (MRB).

Bagaimanapun, katanya, Felda akhirnya dipaksa untuk membeli syarikat itu pada harga melambung melebihi 300 peratus sedangkan nilai pasaran saham pada ketika itu tidak mewajarkan pembelian pada harga sedemikian.

Othman juga menyifatkan pembelian EHP sebagai bersifat 'sepihak' dalam memberi manfaat kepada Rajawali Group (pemilik EHP), kerana terdapat banyak risiko dalam urusan itu, selain kerana EHP tidak memiliki akreditasi Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), mahupun dilihat akan memperolehnya dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Othman turut menyalahkan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad, penggantinya Tan Sri Shahrir Samad, selain bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Razali Ibrahim yang dikatakan turut memainkan peranan dalam perkara itu.

Katanya, terma dan syarat perjanjian EHP juga dikatakan berat sebelah yang memihak kepada Rajawali sedangkan Kementerian Kewangan dan Felda/FIC menyedari terdapat banyak risiko pelaburan tersebut namun pembelian itu tetap diteruskan.

Tambah Othman lagi, jumlah yang dibayar untuk memperoleh 37 peratus dalam EHP adalah 344 peratus lebih tinggi dari nilai sebenarnya iaitu AS$114 juta.

Artikel Berkaitan:

Bagi tujuan pembelian itu, Othman berkata, Felda diberikan pinjaman RM2.5 bilion dari GovCo Holdings Bhd (GovCo), syarikat subsidiari di bawah Kementerian Kewangan ketika itu.

Akibatnya, kata Othman, Felda terpaksa menanggung kerugian RM1.576 bilion setakat 31 Disember 2017 sehingga menjejaskan kewangan dan operasi Felda serta anak syarikatnya.

Menurut Othman, kerugian yang ditanggung Felda akibat daripada pelaburan dalam EHP ialah pelaburan Felda sebanyak RM2.3 bilion kini hanya bernilai RM555 juta setakat 8 Mac tahun ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mazlan Mansor ketika dihubungi mengesahkan laporan polis yang dibuat Othman.

"Kita menerima laporan yang dibuat oleh Othman dan siasatan sedang dilakukan," katanya.

Sebelum ini Felda dilaporkan berhasrat menamatkan perjanjian dengan Rajawali dan menuntut semula AS$500 juta.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali berkata kerajaan akan menyerahkan kepada pengurusan Felda berhubung perkara itu.