Usul Ismail Sabri calon PM ke-10 bukan arahan UMNO

Mahdzir Khalid
Mahdzir Khalid
A
A
A

KUALA NERANG - Keputusan sebahagian besar mesyuarat perwakilan UMNO bahagian yang meluluskan usul Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri ke-10 dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), bukan atas arahan parti.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ini menggambarkan akar umbi parti itu mahu Ismail Sabri terus kekal menerajui negara selepas PRU15.

Menurutnya, keputusan itu juga selari dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang telah bersetuju untuk meletakkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri selepas PRU15.

"Tak ada arahan (untuk luluskan usul berkenaan). Itu terpulang kepada UMNO bahagian masing-masing.

"Bermula semalam kebanyakan UMNO Bahagian telah membuat persidangan dan telah ada satu usul berkenaan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan majlis anugerah kecemerlangan akademik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang ke-21 di sini pada Ahad.

Mahdzir tegaskan, keputusan berkenaan juga tidak menimbulkan sebarang konflik dalaman antara Ismail Sabri dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Presiden (Ahmad Zahid) sendiri pun bersetuju menamakan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.

"Ini juga adalah suara akar umbi dan selari dengan keputusan MKT UMNO," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mahdzir (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada penerima sempena majlis anugerah kecemerlangan akademik SMK Kuala Nerang pada Ahad.
Mahdzir (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada penerima sempena majlis anugerah kecemerlangan akademik SMK Kuala Nerang pada Ahad.

Beliau yang juga bekas ahli Parlimen Padang Terap berkata, keputusan MKT UMNO itu telah pun diputuskan lebih awal sebelum persidangan perwakilan UMNO Bahagian bermula.

"Jadi keputusan UMNO bahagian-bahagian seakan mengambil inisiatif sendiri untuk bawa satu usul berkaitan.

"Katakan ada lima usul, salah satu daripadanya adalah membawa usul sebulat suara di peringkat bahagian mohon supaya Ismail Sabri menjadi calon 'poster boy' dan calon Perdana Menteri selepas pilihan raya.

"Seperti di Padang Terap pun kita bawa usul tersebut dan disokong tanpa bahas," ujarnya lagi.

Pada Sabtu, usul menyokong keputusan MKT UMNO yang menamakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri ke-10 dalam menghadapi PRU15 mendominasi sebahagian besar mesyuarat UMNO bahagian.

Persidangan Bahagian UMNO bermula pada Jumaat sehingga Ahad melibatkan 191 bahagian.