Gelandangan mati dipercayai dibunuh

Lokasi seorang gelandangan ditemui mati dipercayai dibunuh pada Ahad.
Lokasi seorang gelandangan ditemui mati dipercayai dibunuh pada Ahad.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki warga emas yang hidup gelandangan ditemui mati dipercayai dibunuh di berhampiran kaki lima sebuah kedai di Jalan Leong Sin Nam dekat sini pada Ahad.

Dalam kejadian sekitar jam 5.15 pagi itu, mangsa berusia 68 tahun ditemukan dalam keadaan terlentang dengan kesan darah.

Difahamkan, sebelum kejadian berlaku pergaduhan antara mangsa dengan seorang lagi gelandangan menyebabkan mangsa dipukul dan ditendang.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati terdapat kesan calar di kedua tangan dan luka di bahagian dagu disebabkan senjata tajam.

Menurutnya, tindakan pantas polis bagaimanapun berjaya menahan suspek berusia 51 tahun berhampiran Jalan Sultan Idris Shah di sini sekitar jam 6.50 pagi.

"Kes bunuh ini berjaya diselesaikan dalam masa dua jam selepas laporan diterima.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Beliau berkata, suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 16 Oktober depan untuk membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi urusan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian," katanya.

Sementara itu, saksi yang enggan dikenali memaklumkan, sekitar jam 5 pagi dia mendengar bunyi pergaduhan berhampiran premis tempatnya bekerja.

"Bunyi seperti orang bergaduh yang sangat kuat, ada juga bunyi kaca pecah.

"Saya keluar untuk melihat dan sebaik menyedari kejadian itu, saya terus hubungi polis untuk mendapatkan bantuan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurut saksi itu, mangsa memang kerap menjadikan kaki lima di situ sebagai tempat tidur.