Ahmad Maslan harap kekal tanding di Parlimen Pontian

Hasni (kiri) dan Ahmad (dua dari kanan) antara yang disebut-sebut sebagai calon BN di Parlimen Pontian.
Hasni (kiri) dan Ahmad (dua dari kanan) antara yang disebut-sebut sebagai calon BN di Parlimen Pontian.
A
A
A

PONTIAN - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap kekal bertanding mempertahankan kerusi yang disandangnya di Parlimen Pontian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, bagaimanapun beliau tetap menyerahkan keputusan kepada pucuk pimpinan parti dan akan terus memberikan sokongan sekiranya tidak dipilih.

Saya harap dapat bertanding di Parlimen Pontian kerana saya orang tempatan dan telah berkhidmat sebagai ahli Parlimen dengan sepenuh jiwa.

"Jika tidak diberikan peluang, saya akan menyokong dengan penuh gigih sebagai ahli parti dan pimpinan utama di peringkat pusat. Sebagaimana saya sebut, jadi ahli politik ini penuh dengan risiko," katanya.

Beliau ditemui pada sidang akhbar selepas Mesyuarat UMNO Bahagian Pontian di Dewan UMNO Pontian di sini, pada Sabtu. Turut hadir, Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad.

Selama tiga penggal di Parlimen Pontian, Ahmad Maslan pada PRU14 lalu menang majoriti tipis dengan 833 undian dalam pertembungan tiga penjuru.

Sebelum itu, timbul desas-desus bekas Menteri Besar Johor yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian, Hasni akan bertanding di kerusi Parlimen Pontian pada PRU15 nanti.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian menggesa agar jentera UMNO tidak lemah semangat dengan ketiadaan Pas bersama BN dan UMNO pada PRU15 kali ini.

Artikel Berkaitan:

"UMNO telah bersedia sejak dari Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka untuk bergerak tanpa Pas. Begitu juga pada PRN Johor, tanpa Pas dalam Muafakat Nasional (MN).

"Saya bukan hendak mendabik dada tetapi saya tidak mahu jentera di luar sana merasa lemah semangat apabila MN bersama Pas tiada dalam PRU15 kali ini.

"Kita kena sentiasa merujuk kepada apa yang telah berlaku sebelum ini. Di Melaka, 21 daripada 28 kerusi dan Johor pula 40 daripada 56 kerusi dimenangi BN. Oleh itu jangan berdukacita, lakukan yang terbaik kerana rakyat mahukan kestabilan dan kemakmuran," katanya.