PH Sabah sudah hantar senarai kerusi kepada Pusat

Christina bersama pemimpin akar umbi yang hadir pada pertemuan PKR di Bahagian Tawau.
Christina bersama pemimpin akar umbi yang hadir pada pertemuan PKR di Bahagian Tawau.
A
A
A

TAWAU - Pakatan Harapan (PH) Sabah sudah memuktamadkan peruntukan kerusi Parlimen bagi semua komponen parti dalam gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Christina Liew berkata, mesyuarat akhir bagi membincangkan perkara itu telah diadakan baru-baru ini di Kota Kinabalu.

"Kami sudah menghantar senarai kerusi Parlimen yang akan ditandingi PH kepada kepimpinan Pusat di Kuala Lumpur untuk dipertimbang dan diluluskan.

"Buat masa sekarang, kami telah kembali ke kawasan masing-masing untuk melakukan persiapan yang diperlukan untuk pilihan raya yang bakal menjelang," katanya dalam mesyuarat bersama pemimpin akar umbi Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Bahagian Tawau, pada Jumaat.

Menurut penyandang kerusi Parlimen Tawau itu lagi, PH telah mencapai kata sepakat bagi penggunaan logo pada PRU15.

"Kami memutuskan untuk menggunakan logo PH dan kami dalam proses menempah beberapa ribu bendera, baju-T dan topi untuk ahli PKR serta penyokong. Untuk Tawau, saya juga telah membuat tempahan," katanya.

Christina turut meminta orang ramai yang berminat menjadi Ejen Tempat Mengundi, Ejen Mengira Undi (Paca) supaya mendaftarkan diri untuk latihan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tawau minggu hadapan.

Pada ketika ini, beliau berkata, sokongan kepada PH di Semenanjung semakin rancak dengan matlamat untuk menukar kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Tolak Barisan Nasional (BN), tolak rasuah dan kleptokrasi demi kebaikan negara dan rakyatnya. Berilah PH peluang kedua untuk mentadbir negara," katanya.

Sementara itu, Christina turut menggesa pihak tertentu supaya tidak memfitnahnya dengan mengatakan beliau bukan anak jati Tawau.

"Saya dibesarkan di sini dan belajar di Sekolah Rendah Sin Hwa, Tawau. Begitu juga anak-anak saya.

"Ayah saya bekerja sebagai kontraktor di sini dan beliau dikebumikan di sini selepas meninggal dunia," katanya yang juga mempunyai kediaman di Tawau.

Malah Christina turut menempelak tuduhan terhadapnya yang didakwa tidak melakukan apa-apa kemajuan untuk Parlimen Tawau yang meliputi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, Apas dan Balung.

"Apabila tiba masa yang sesuai, saya akan mengumumkan senarai projek pembangunan yang dijalankan oleh Majlis Perbandaran Tawau (MPT), menggunakan dana sebagai ahli Parlimen saya," katanya.