PRN: BN Selangor bentangkan senarai calon kepada pusat

Megat Zulkarnain (duduk, empat dari kiri) pada sidang media di Pejabat UMNO Selangor di Seksyen 14, Shah Alam pada Jumaat.
Megat Zulkarnain (duduk, empat dari kiri) pada sidang media di Pejabat UMNO Selangor di Seksyen 14, Shah Alam pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO dan Barisan Nasional (BN) Selangor masih belum memuktamadkan calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, senarai calon bertanding masih di peringkat pembentangan kepada Jawatankuasa Tertinggi BN Pusat.

"Kita telah membentangkan senarai nama calon kita kepada jawatankuasa tertinggi, saya sendiri telah hadir dalam mesyuaratnya beberapa hari lepas.

"Kita telah menyampaikan hasrat BN termasuk mewakili parti komponen pada waktu itu iaitu jumlah yang ingin kita tandingi di peringkat negeri Selangor.

"Namun kawasan-kawasan ini kita belum kenal pasti dan saya telah menerima panggilan mesyuarat pada 17 Mei ini untuk memuktamadkan soal cadangan kita," katanya pada Jumaat.

Beliau ditemui pada sidang media berkaitan perkembangan dan persiapan terkini BN Selangor dalam menghadapi PRN Selangor ke-15 di Pejabat UMNO Selangor di Seksyen 14 di sini.

Beliau menambah, perbincangan akan diadakan dengan Pakatan Harapan (PH) hanya selepas senarai calon BN dimuktamadkan di peringkat parti dan dipersetujui oleh jawatankuasa tertinggi.

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain berkata, jawatankuasa tertinggi parti itu juga telah bersetuju dan memuktamadkan BN Selangor menggunakan logo dacing pada PRN ke-15 di negeri itu.

"Di peringkat BN, Dewan Tertinggi telah memutuskan dan telah mempersetujui kita (BN Selangor) akan bertanding menggunakan logo BN di Selangor

"Keputusan ini sekali gus mematikan pelbagai andaian yang kononnya BN (Selangor) akan menggunakan (logo) parti-parti tertentu dan mereka juga akan menggunakan logo parti-parti tertentu," katanya.