PRU15: UMNO sudah terima senarai calon

Mohamad
Mohamad
A
A
A

SEREMBAN - Semua perhubungan UMNO bahagian di setiap negeri telah menghantar senarai calon masing-masing untuk dipertimbangkan sebelum disaring bagi mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini merupakan pusingan pertama dan pihaknya telah mengambil maklum mengenainya (senarai calon).

"Ini pusingan pertama, cuma kita ambil maklum calon-calon yang telah disenaraikan. Ibu pejabat (UMNO) akan membuat penilaian senarai-senarai nama ini dan tidak semestinya orang yang disenaraikan itu sahaja yang akan dinilai.

"Bagi parti, kita nak supaya kemenangan itu menjadi keutamaan kita. Jika calon itu boleh memberi kemenangan, kita akan bagi dia bertanding mewakili parti. Ada yang pegang jawatan dan tidak semestinya yang memegang jawatan (dalam senarai calon)," katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan UMNO Negeri Sembilan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, calon sebenar nanti adalah selepas parti membuat saringan termasuk saringan keselamatan.

Malah menurut beliau, pihaknya juga mengutamakan strategi meletakkan calon di tempat tertentu terutamanya melibatkan pertemuan calon 'heavy weight''.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Mohamad berkata, terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan dua tarikh penting pilihan raya iaitu tarikh penamaan calon dan pengundian.

"Terpulang pada SPR dua tarikh untuk menentukan dua tarikh yang penting itu, kalau boleh tidak perlulah lama-lama sangat untuk elakkan musim hujan.. elok diselesaikan segera," ujarnya.

Artikel Berkaitan: