Mandat rakyat penawar ampuh kestabilan politik: PM

Ismail Sabri (tengah) menghadiri Majlis Perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dekat Ayer Keroh, pada Jumaat. - Foto Bernama
Ismail Sabri (tengah) menghadiri Majlis Perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dekat Ayer Keroh, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan yang teguh, stabil serta dihormati selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, mandat dipulangkan kembali kepada rakyat dengan pembubaran penggal Parlimen ke-14 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 10 Oktober lepas.

"Saya yakin Keluarga Malaysia Melaka akan menggunakan hak untuk memilih kerajaan yang mampu mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Zaidi Johari dan barisan Exco kerajaan negeri.

Ismail Sabri seterusnya berkongsi kejayaan yang dicatatkan negara dalam tempoh lebih setahun ini meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran luar biasa, berkat kerjasama Keluarga Malaysia serta kecekapan kerajaan dalam mentadbir negara.

Katanya, dalam tempoh itu Malaysia muncul antara negara yang menyaksikan prestasi ekonomi terbaik di Asia Tenggara dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 8.9 peratus pada suku kedua 2022 berbanding 5.0 peratus pada suku pertama 2022.

Saya yakin ekonomi negara tahun ini mampu mencapai sasaran KDNK antara 6.5 peratus hingga 7.0 peratus dengan mengambil kira pencapaian separuh pertama tahun 2022 sebanyak 8.9 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Malaysia juga diiktiraf sebagai negara ke-18 paling aman di dunia daripada 163 negara dan kedua di Asia berdasarkan Indeks Keamanan Global (GPI) 2022, yang menjadi ukuran utama kedamaian global di dunia, dan ia merupakan pencapaian terbaik Malaysia sejak GPI diperkenalkan pada 2008," katanya.

Perdana Menteri dalam menangkis dakwaan pembangkang kononnya Malaysia bukan lagi destinasi pelaburan asing berkata, pelaburan langsung asing (FDI) mencatat aliran langsung bersih bernilai RM47.4 bilion bagi separuh pertama 2022.

"Kerajaan sentiasa memantau kesan inflasi kepada harga barangan asas hingga berjaya mengawalnya ke tahap lebih rendah berbanding negara serantau," katanya, dan menambah kerajaan juga menyalurkan subsidi RM77.7 bilion yang merupakan subsidi terbesar dalam sejarah negara bagi meringankan beban Keluarga Malaysia.

Menurutnya, dalam tempoh itu juga, kerajaan Keluarga Malaysia berjaya mengembalikan pasaran buruh ke tahap guna tenaga penuh dan kadar pengangguran menurun untuk 12 bulan berturut-turut iaitu 3.7 peratus pada Julai 2022 berbanding 4.8 peratus pada Julai 2021.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Melaka bakal menerima pelbagai manfaat menerusi Bajet 2023 yang dibentang baru-baru ini, yang mencakupi pelbagai lapisan masyarakat, sektor, industri dan infrastruktur.

Beliau berkata, antaranya melalui peruntukan RM1 bilion daripada peruntukan keseluruhan RM372.3 bilion Bajet 2023 bagi Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM), peningkatan lima kali ganda berbanding RM150 juta pada tahun ini.

Katanya, fasa pertama BMTKM di Melaka yang melibatkan dua lokaliti iaitu Jasin (Melaka Selatan) dan Alor Gajah (Melaka Utara) akan memanfaatkan 60 Ketua Isi Rumah (KIR).

Beliau berkata, sektor pelancongan di Melaka terus diperkasakan menerusi projek Ecotourism Paya Lebar dengan peruntukan RM2.3 juta dan projek menaik taraf Kolam Ayer Panas Gadek sebanyak RM17.9 juta, serta peruntukan RM5.9 juta bagi projek Pemulihan, Pemuliharaan, Ubahsuai dan Naik Taraf (PPUN) fasiliti pelancongan tidak digunakan sepanjang tempoh pandemik.

"Beberapa bantuan dan inisiatif turut diberi kepada penggiat pelancongan, misalnya pada tahun ini, RM1.9 juta telah disalurkan kepada penggiat pelancongan di Melaka termasuk pengusaha inap desa dan hotel, pemandu pelancong serta agensi pelancongan.

"Bagi memastikan Keluarga Malaysia terus menikmati infrastruktur yang selesa dan selamat, kerajaan memperuntukkan RM22.3 juta untuk menyenggara jalan persekutuan di Melaka," katanya.

Bagi sektor pendidikan pula, Ismail Sabri berkata, terdapat 56 projek baharu dan sambungan di Melaka bagi pembangunan sekolah serta institusi pendidikan dengan kos keseluruhan RM788 juta, manakala dalam bidang kesihatan pula, Jabatan Kecemasan dan Trauma serta Pergigian Pediatrik di Hospital Melaka sedang dinaik taraf.

"Klinik Kesihatan dengan kuarters Simpang Bekoh, Jasin sedang dibina dengan peruntukan RM63 juta dan dijangka siap pada tahun 2023 dan 2024," katanya.

Bagi pembangunan luar bandar, Ismail Sabri berkata, RM442 juta diperuntukkan bagi 38 projek pembangunan di kawasan luar bandar untuk kelestarian, kesejahteraan dan keselesaan Keluarga Malaysia.

"Bagi golongan berpendapatan rendah di Melaka, kerajaan melaksanakan program perumahan rumah mampu milik (RMM) sebanyak 12,876 unit, sama ada siap dibina atau dalam perancangan setakat bulan Ogos 2022.

"RM929.8 juta diluluskan bagi Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dan RM585 juta bagi projek pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) untuk menangani masalah kekurangan bekalan air," katanya. - Bernama