[VIDEO] Suspek miliki 15 rekod lampau kecundang lepas samun wanita

Tangkap layar video tular kejadian cubaan samun melibatkan suspek sama.
Tangkap layar video tular kejadian cubaan samun melibatkan suspek sama.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Kegiatan seorang lelaki tempatan yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan samun akhirnya tumpas apabila berjaya diberkas polis pada Jumaat.

Suspek berusia 41 tahun dan memiliki 15 rekod lampau pelbagai kesalahan jenayah itu ditahan di tepi Jalan Raja Chulan dekat sini, sekitar jam 7.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, penahanan itu dibuat selepas menerima satu laporan berkaitan kejadian samun bersenjata melibatkan seorang wanita di pekan Kuala Kangsar.

Menurutnya, dalam kejadian pada Khamis itu, wanita terbabit mengalami kerugian hampir RM4,000.

"Dalam tangkapan itu, polis turut merampas sebuah motosikal dan barang-barang yang mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Kita percaya, suspek merupakan individu sama dalam kejadian cubaan samun yang tular di media sosial.

"Mangsa dalam kejadian itu telah dikesan dan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar bagi tujuan siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati motosikal yang digunakan suspek dalam kejadian samun, menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, semakan juga mendapati suspek mempunyai 15 rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

"Suspek direman enam hari sehingga Rabu depan untuk siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompak dengan menggunakan senjata," katanya.