Ahmad Zahid sindir bekas ahli Parlimen UMNO keluar parti

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A
SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyindir beberapa bekas ahli Parlimen UMNO sebelum ini mengambil keputusan keluar parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Kenyataan dikeluarkan menjelang PRU15 itu dipercayai merujuk kepada tujuh orang ahli Parlimen daripada UMNO yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), iaitu parti gabungan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

“Kisah pada Disember 2018 ini antara peristiwa yang masih diingati semua. Beberapa pemimpin UMNO keluar parti atas sebab yang semua sedia maklum.

“Dalam masa sama mereka mengugut Presiden UMNO supaya meletak jawatan atau seramai 10 lagi pemimpin UMNO akan menyertai mereka keluar parti. Mereka ketika itu memberi alasan kononnya Presiden UMNO tiada hala tuju dalam membawa UMNO menghadapi PRU15.

“Ketika mereka membuat desakan itu belum lagi menyertai Bersatu, tetapi mengisytiharkan sokongan terbuka kepada Tun Dr Mahathir Mohamad. Selepas muslihat itu gagal, dua bulan kemudian baru mereka secara rasmi menyertai Bersatu dan PH,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

Tujuh bekas ahli Parlimen UMNO yang menyertai Bersatu selepas PRU14 ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing); Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor); Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut); Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah).

Ahmad Zahid berkata, mengambil kira hujah dikemukakan ahli Parlimen tersebut untuk keluar parti, beliau agak pelik melihat sikap ditunjukkan kumpulan tersebut terhadap pendirian UMNO mengadakan PRU15 sejak daripada tahun lepas lagi.

“Ironinya beberapa tahun kemudian mereka antara yang terlihat amat susah hati apabila UMNO minta PRU15 diadakan selepas proklamasi darurat tamat pada 1 Ogos 2021.

"Sepatutnya mereka menyokong kerana UMNO telah pun membuktikan hala tujunya pada PRN Melaka, Johor dan juga hala tuju yang jelas untuk PRU-15. Iaitu untuk kembali membentuk sebuah kerajaan BN yang dominan demi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara.
Artikel Berkaitan:


“Apapun inilah antara kisah nyata dan benar berpandukan fakta yang harus menjadi pengajaran mendewasakan selepas sejarah hitam 9 Mei 2018 terjadi di Malaysia,” ujarnya.