11 pelancong curi 210kg pakaian berjenama ditahan

Fakhrudin (tengah) menunjukkan bag khas yang digunakan suspek semasa mencuri.
Fakhrudin (tengah) menunjukkan bag khas yang digunakan suspek semasa mencuri.
A
A
A

PETALING JAYA - Kegiatan sindiket curi pakaian berjenama didalangi warga asing terbongkar selepas 11 pelancong dari negara jiran ditahan disyaki terlibat dalam 17 kes kecurian di beberapa pusat beli-belah di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sindiket berkenaan menjadikan butik berjenama sebagai sasaran dan menghantar pakaian curi berkenaan ke negara asal mereka untuk dijual.

"Dalam satu kejadian pada jam 3 petang, seorang penyelia di salah sebuah premis terlibat mendengar bunyi penggera pada pintu keluar dan nampak seorang lelaki meluru keluar menuruni eskalator untuk melarikan diri meninggalkan rakannya seorang wanita warga asing di dalam premis.

"Wanita berkenaan ditahan oleh pengawal keselamatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. Sebanyak 142 helai pakaian didapati dicuri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini pada Khamis.

Fakhrudin berkata, bertindak atas maklumat risikan, polis menjalankan serbuan ke atas dua buah hotel bajet di ibu negara sekitar jam 3 petang hingga 12.30 pagi dan menahan seorang lelaki tempatan, tiga lelaki serta tujuh wanita warga asing.

"Polis berjaya merampas 67 helai pakaian pelbagai jenama, 13 telefon bimbit, pasport antarabangsa milik suspek (11), bagasi (tiga), alat mencabut tag magnet (23), tag keselamatan (tujuh), bag aluminium (lima), dan sebuah Proton Saga," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati sindiket berkenaan aktif mencuri pakaian berjenama di Malaysia sejak bulan Mac lalu dan telah masuk ke dalam negara sebagai pelancong sebanyak tiga kali sepanjang tahun ini.

Katanya, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan mengupah seorang warga tempatan sebagai pemandu dan akan berpecah ke beberapa premis pakaian berjenama di beberapa pusat beli-belah sekitar Lembah Klang.

Artikel Berkaitan:

"Suspek menggunakan bag khas untuk memasukkan pakaian yang dicuri dan bag berkenaan mampu mengelak penggera pengesanan tag keselamatan di pintu keluar premis.

"Mereka masuk sebagai pelancong sekitar lima hari dan menjalankan kegiatan tersebut. Hasil semakan rekod mendapati mereka telah berjaya menghantar tiga bungkusan pakaian dengan berat keseluruhan 210 kilogram (kg) ke negara asal mereka sebelum ditahan," katanya.

Katanya, nilai sebenar kerugian dan jumlah pakaian yang dicuri sindiket terbabit masih dalam siasatan polis.

Sehubungan itu, beliau berkata, dengan tertangkapnya kesemua suspek terbabit polis berjaya menyelesaikan sebanyak tujuh kes curi pakaian yang dilaporkan di sekitar Petaling Jaya.

"Kesemua suspek berusia lingkungan 26 hingga 51 tahun direman sehingga 22 Oktober untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri," ujar beliau.