BN Selangor tampil calon nama besar hadapi PRU15

Noh bergambar bersama pegawai dan pesawah yang hadir pada Majlis Perasmian Hari Ladang di Pusat Belian Padi Sungai Burong, pada Khamis.
Noh bergambar bersama pegawai dan pesawah yang hadir pada Majlis Perasmian Hari Ladang di Pusat Belian Padi Sungai Burong, pada Khamis.
A
A
A

TANJONG KARANG - BN Selangor dijangka menampilkan calon 'nama besar' untuk diketengahkan bertanding di kerusi Parlimen bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, selain itu, BN juga bakal mengetengahkan calon muda dan wanita untuk mewakili parti terbabit.

Menurutnya, senarai nama calon sudah dibincangkan pada Rabu lalu dan perkara itu akan dimuktamadkan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh sebenar PRU15.

"Kita tunggu kerana ini baru pusingan pertama dan (nama calon kerusi Parlimen mewakili BN) akan diumumkan selepas ini," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Hari Ladang di Pusat Belian Padi Sungai Burong pada Khamis.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, sebagai ahli parti, beliau tidak boleh mendahului keputusan pucuk tertinggi.

"Saya hanya berunding dan keputusan terletak pada kepimpinan untuk menentukan siapa calon sesuai dan layak untuk mewakili BN," ujar beliau.

Sebelum ini, antara nama besar dijangka ditampilkan UMNO Selangor antaranya Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dijangka dipertaruhkan di Parlimen Kuala Selangor.

Nama lain disebut-sebut sebagai calon BN antaranya bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo, Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Isham Jalil dan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU14 lalu, BN hanya menang dua daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor iaitu di Parlimen Tanjong Karang dan Sabak Bernam.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh pula bertindak keluar daripada UMNO untuk menyertai Bersatu.