Hassan Karim saran Sivakumar bercuti, letak jawatan

SPRM menggeledah pejabat dan kediaman Sivakumar pada 16 April lalu bagi melengkapkan siasatan berhubung dakwaan menerima wang bernilai jutaan ringgit menerusi orang tengah sebagai jaminan meneruskan kontrak kerajaan terhadap individu tertentu.
SPRM menggeledah pejabat dan kediaman Sivakumar pada 16 April lalu bagi melengkapkan siasatan berhubung dakwaan menerima wang bernilai jutaan ringgit menerusi orang tengah sebagai jaminan meneruskan kontrak kerajaan terhadap individu tertentu.
A
A
A

SHAH ALAM - Anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Hassan Abdul Karim menyarankan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar bercuti daripada tugas atau meletakkan jawatan sehingga selesai siasatan kes berkait rasuah.

Menurut beliau, menteri berkenaan yang mendukung agenda Pakatan Harapan (PH) untuk membasmi rasuah di Malaysia wajar menunjukkan contoh tauladan yang positif.

“Saya membuat kenyataan media ini sebagai seorang ahli Parlimen penyokong Kerajaan Perpaduan yang bertugas sebagai badan pemantau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

“Beliau tentu lebih faham tentang prinsip 'collective responsibility' dan 'ministerial responsibility' dalam fungsi kerja Jemaah Menteri atau kabinet Kerajaan Persekutuan,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Pada 17 April lalu, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar hadir ke pejabat SPRM berhubung dakwaan menerima wang secara tunai oleh seorang ahli perniagaan bersama dua pegawai kanannya.

Sementara itu, tiga pegawai kanan terbabit telah digantung tugas, termasuk seorang setiausaha sulit dan seorang pegawai tugas-tugas khas (PTTK) yang ditahan berhubung siasatan rasuah terhadap kelulusan pekerja asing.

Tambah Hassan, setiap menteri mesti bertanggungjawab menjaga nama baik kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang amat jelas sedang melakukan tindakan untuk membanteras amalan rasuah dalam jentera kerajaan.

Ulasnya, walaupun menteri tersebut bukan suspek tetapi setelah dua kali dipanggil untuk disiasat oleh SPRM dan rumah serta pejabat dilawati agensi itu bukan sesuatu yang molek bagi wajah anggota kabinet kerajaan yang dikenali sekarang sebagai Kerajaan Madani.

“Jangan tunggu Anwar mengarahkan supaya menteri yang terpalit kementeriannya dengan rasuah supaya bercuti ataupun meletakkan jawatan.

“Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga kerana saya percaya beliau mempunyai jiwa yang besar dan 'conscience' yang jernih serta mulia,” katanya.