'Barcelona tidak layak mara pusingan kalah mati UCL'

Antara aksi perlawanan Inter menentang Barcelona di Camp Nou awal pagi tadi
Antara aksi perlawanan Inter menentang Barcelona di Camp Nou awal pagi tadi
A
A
A

PENGENDALI Barcelona, Xavi Hernandez beranggapan pasukannya sudah tidak layak untuk mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas gagal menewaskan Inter Milan di laman sendiri awal pagi tadi.

Menurut Xavi, dia kecewa dengan keputusan itu dan akan bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan mereka mendapat tiga mata penuh pada perlawanan tersebut.

"Jika anda tidak menewaskan Inter di tempat sendiri, anda tidak layak untuk meneruskannya. Sekarang ia tidak bergantung kepada kami kerana pasukan ini tidak layak untuk meneruskan dalam Liga Juara-Juara dan ini amat mengecewakan.

"Jika seorang pemain atau yang lain melakukan kesilapan sebagai pengurus, itu adalah tanggungjawab saya. Saya bertanggungjawab sepenuhnya apabila pemain saya melakukan kesilapan.

“Kami kekal fokus pada awal permainan namun pada separuh masa kedua pasukan gagal beraksi dengan baik. Saya kecewa,” katanya.

Pada aksi tersebut, Barcelona terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada mini ke-40 menerusi pemain sayapnya Ousmane Dembele.

Bagaimanapun, Inter Milan berjaya bangkit pada babak kedua apabila berjaya menghasilkan dua gol menerusi Nicolo Barella dan Lautaro Martinez masing-masing pada minit 50 dan 63.

Penyerang Barcelona, Robert Lewandowski kemudiannya berjaya mengikat apabila meledak gol pada minit ke-82 sebelum Ryan Gosens kembali meletakkan Inter dihadapan tujuh minit berselang.

Artikel Berkaitan:

Lewandowski berjaya menyelamatkan maruah Barcelona dengan gol pada minit akhir perlawanan apabila meledak gol penyamaan untuk kelab Catalan itu sekurang-kurangnya meraih satu mata dari aksi tersebut.