Jho Low makan tengah hari bersama pegawai AmBank, TIA: Saksi

Jho Low dan Najib.
Jho Low dan Najib.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Pengarah Urusan AmInvestment Bank Berhad memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low hadir dalam perjumpaan makan tengah hari bersama pegawai AmBank dan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) di sebuah hotel terkemuka di sini pada 2009 lalu.

Kok Tuck Cheong berkata demikian ketika sesi soal balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Saksi pendakwaan ke-40, Tuck Cheong, 67, berkata, perjumpaan tidak rasmi itu turut dihadiri oleh lima atau tujuh pegawai AmBank dan TIA.

Dalam pertemuan tersebut, beliau berkata, Pengarah Perhubungan Perbankan Ambank ketika itu, Chan Wan Siong telah memperkenalkannya kepada Jho Low.

"Saya tidak ingat sama ada Datuk Shahrol Azral Ibrahim yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ketika itu hadir dalam perjumpaan ini," katanya.

Muhammad Shafee: Adakah perjumpaan makan tengah hari itu ada kaitan dengan pengeluaran Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bernilai RM5 bilion oleh TIA?

Tuck Cheong: Kami tidak berbincang mengenai urusan perniagaan yang serius.

Muhammad Shafee: Adakah anda tahu ahli perniagaan itu pernah dianggap sebagai penasihat TIA?

Artikel Berkaitan:

Tuck Cheong: Namanya pernah ditimbulkan tetapi ia bukan fakta yang konkrit.

TIA ditubuhkan pada Februari 2009 dan dimiliki oleh Menteri Besar Terengganu Diperbadankan dengan Sultan Terengganu yang kemudiannya menjadi Yang Di-pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai pemilik majoriti.

TIA kemudiannya dipindahkan kepada kerajaan Persekutuan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) pada Julai 2009.

Ia dinamakan semula sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada September tahun sama.

Pada 25 September 2019 lalu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB dan TIA, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi mendedahkan bahawa pengambil alihan TIA kepada 1MDB adalah untuk menyembunyikan penyelewengan Najib ke atas bon pinjaman IMTN berjumlah RM5 bilion yang dimohon TIA.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata, Jho Low telah mengarahkannya menulis surat kepada Najib bagi memastikan 1MDB tidak perlu diaudit.

Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Khamis.