Agrobank sedia bantu penggiat seni

Abon (kiri) bersama Tengku Ahmad Badli Shah bertukar pandangan pada sesi taklimat Agrobank bersama penggiat seni yang diadakan di Kuala Lumpur pada Selasa.
Abon (kiri) bersama Tengku Ahmad Badli Shah bertukar pandangan pada sesi taklimat Agrobank bersama penggiat seni yang diadakan di Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

AGROBANK bersedia untuk membantu penggiat seni tanah air merancakkan lagi perniagaan mereka menerusi pelbagai penawaran produk pembiayaan dan perkhidmatannya.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, ia termasuklah sesi perkongsian ilmu tadbir urus perniagaan dan kewangan, penyediaan kertas kerja perniagaan serta penjenamaan produk bagi merancakkan lagi perniagaan sedia ada mereka.

Menurutnya, dengan memberikan mereka maklumat yang jelas dan terperinci mengenai kemudahan dana dan pembiayaan serta perkhidmatan yang disediakan oleh Agrobank, ia akan dapat membantu mereka membuat pilihan yang tepat untuk meningkatkan lagi keupayaan dan kebolehpasaran perniagaan mereka.

“Agrobank berbesar hati membantu pengiat seni tanah air untuk turut sama merancakkan lagi perniagaan mereka dengan pelbagai program pembiayaan dan inisiatif yang bersesuaian dan menarik sekali gus merancakkan lagi sektor pertanian dan agromakanan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Seramai 30 penggiat seni yang terdiri daripada pelakon, penyanyi, pelawak dan pengacara telah hadir ke satu sesi taklimat Agrobank yang diadakan di Kuala Lumpur pada Selasa.

Sesi taklimat itu dikendalikan oleh Ketua Jabatan Pusat Kecemerlangan Agrobank (ACE), Rosli Jusoh dan Pengurus Cawangan Kuala Lumpur Agrobank, Mohd Haizan Mohd Aziz yang membincangkan mengenai masalah yang sedang dihadapi oleh mereka dalam menjalankan perniagaan.

Tengku Ahmad Badli Shah (lima dari kanan), Kamarul Azman (lima dari kiri) dan Rosdi Effendi (empat dari kiri) mengabdikan kenangan bersama penggiat seni.
Tengku Ahmad Badli Shah (lima dari kanan), Kamarul Azman (lima dari kiri) dan Rosdi Effendi (empat dari kiri) mengabdikan kenangan bersama penggiat seni.

Sementara itu, Anne Abdullah berkata, menerusi program Pemulih NewBiz yang ditawarkan oleh Agrobank, ia dapat membantu penggiat seni yang ingin memulakan perniagaan berasaskan pertanian dan agromakanan.

Artikel Berkaitan:

"Agrobank menawarkan modal permulaan sebanyak RM5,000 pada tahun pertama dan RM10,000 pada tahun kedua dengan kadar keuntungan yang rendah termasuklah kemudahan moratorium bagi tempoh enam bulan pertama pembiayaan,” tambah Anne.

Turut hadir ke sesi taklimat tersebut adalah Ketua Pegawai Kewangan Agrobank, Kamarul Azman Kamarozaman dan Naib Presiden Kanan, Pemasaran dan Komunikasi Agrobank, Rosdi Effendi Mohammed Effendi.

Penggiat seni tempatan yang hadir ialah Anne Abdullah, Abon, Kuna, Kuza, Ayu Damit, Nadia Mustafar, Laila Nasir dan Ezlynn.