Balai penghulu jadi pangkalan hadapan

Amirudin menandatangani buku lawatan sebelum merasmikan Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan JBPM Menghadapi Monsun Timur Laut di Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam pada Rabu.
Amirudin menandatangani buku lawatan sebelum merasmikan Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan JBPM Menghadapi Monsun Timur Laut di Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Balai penghulu dan aset-aset kerajaan negeri di Selangor akan dijadikan pangkalan hadapan dalam menangani fasa peralihan Monsun Timur Laut tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu bertujuan agar pergerakan aset-aset pasukan penyelamat tidak terlalu jauh selain mempercepatkan operasi mencari dan menyelamat sekiranya berlaku bencana banjir.

"Pangkalan hadapan itu nanti akan turut menjemput agensi dan badan-badan lain yang akan berkhidmat untuk proses-proses penyelamatan terhadap sebarang kemungkinan bencana di dalam lokaliti.

"Pangkalan hadapan ini adalah satu persediaan awal supaya kita tidak terlalu jauh menggerakkan aset," katanya ditemui pada Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor Menghadapi Monsun Timur Laut di Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam di Seksyen 15 di sini pada Rabu.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Haris Kasim dan Pengarah JBPM Negeri Selangor, Norazam Khamis.

Dalam pada itu, Aminudin berkata, projek tebatan banjir fasa pertama di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dijadualkan bermula Januari tahun depan kerana ia melibatkan kos yang besar dan perlu melalui proses ditetapkan.

"Projek-projek melibatkan kerajaan Persekutuan berjumlah RM4.6 bilion itu pun bermula Januari. Ada proses yang kita perlu laksanakan, sebahagiannya telah kita mulakan awal, misalnya pembelian pam.

"Ia melibatkan kerja-kerja pengorekan, pembuatan ban dengan sebahagiannya mengambil masa untuk kita laksanakan, kita memang telah 'push' (MBSA) untuk awalkan.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini kita sudah mula sebahagiannya terutamanya untuk meningkat longkang dan beberapa perkara lain," katanya mengulas mengenai projek tebatan banjir fasa pertama di kawasan pentadbiran MBSA bermula Januari tahun depan sedangkan terdapat risiko banjir berlaku tahun ini.