Tubuh pasukan khas pastikan undang-undang kesamaan gender seimbang

Nancy Shukri
Nancy Shukri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menubuhkan pasukan projek khas bagi memastikan undang-undang berkaitan kesaksamaan gender diwujudkan dengan mengambil kira kepentingan semua pihak.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, kementerian itu menyatakan penubuhan pasukan khas itu akan melibatkan dan mengambil kira aspek agama, sosial dan kaum memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum dan agama.

“Kementerian berharap dengan pewujudan pasukan projek khas yang terdiri daripada wakil kementerian, jabatan, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kepakaran berkenaan kesaksamaan gender ini dapat meneliti, menggubal dan menyediakan kerangka perundangan kesaksamaan gender di Malaysia,” katanya dalam jawapan tersebut.

Jawapan bertulis bertarikh 8 April itu bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Nancy Shukri (GPS-Batang Sadong) yang ingin tahu hasil sesi libat urus pihak yang terlibat berhubung penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Kesaksamaan Gender dan hasil kajian impak yang dijadikan panduan menggubal akta itu, setakat hari ini.

Kementerian tersebut menjelaskan, bagi tujuan mewujudkan perundangan berkenaan kesaksamaan gender di Malaysia, beberapa sesi libat urus dengan pihak seperti Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta NGO telah diadakan dalam memastikan penggubalan akta ini mengambil kira pandangan setiap pihak yang berkepentingan.

“ Hasil daripada sesi libat urus yang telah diadakan, satu kerangka perundangan kesaksamaan gender perlu digubal dengan mengambil kira Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).

“Ia juga mengambil kira perundangan sedia ada di Malaysia seperti Perkara 3(1), Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam ialah agama bagi Persekutuan dan juga beberapa contoh perundangan kesaksamaan gender di negara lain seperti Filipina, India dan Vietnam,” menurut jawapan tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan: