Tok Mat enggan layan isu rumah RM6 juta

Mohamad Hasan dan Paparan Facebook
A
A

SEREMBAN - Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan enggan melayan dakwaan mengatakan sebuah rumah bernilai RM6 juta di Seremban 2 adalah miliknya.

Beliau sebaliknya menyifatkan dakwaan itu dibangkitkan oleh 'budak bodoh'.

"Sila semak sama ada saya punya atau tidak (banglo di Seremban 2). Semua orang kata itu rumah saya.

"Kalau rumah saya, maka itu rumah saya, kalau bukan, itu bukan rumah saya. Saya malas (nak layan isu ini), cerita budak bodoh yang main pondok-pondok," katanya kepada media selepas meninjau proses pengundian awal di Pangkalan Udara Sendaya di sini, hari ini.

Semalam, calon PH, Dr S Streram meminta penjelasan Mohamad mengenai sebuah rumah banglo dengan rekaan Minangkabau yang dikatakan milik bekas Menteri Besar itu.

Gambar rumah itu mula tersebar di media sosial selepas Mohamad membuat pengakuan beliau tidak mempunyai rumah di Seremban.

ARTIKEL BERKAITAN:Saya bukan tak ada duit beli rumah: Tok Mat

Menurut Mohamad, tiada gunanya beliau mahu mencabar pihak yang membuat tuduhan mengemukakan bukti.

"Buat apa saya nak cabar mereka kemukakan bukti, biar mereka buang peluru mereka. Itu cara mereka nak memburukkan nama saya dan mengaitkan saya.

"Daripada dulu lagi mereka buat begitu, takkan saya nak jadi budak-budak, mereka main pasir saya main abu. Saya buat kerja dan tidak akan terganggu," kata-nya.

Mengenai tindakan Pemuda Amanah Negeri Sembilan yang akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu RM10 juta, Mohamad berkata, mereka berhak berbuat demikian.

"Terpulanglah, tapi kes ini telah pun disiasat oleh SPRM sebelum ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Mohamad nafi salah guna kuasa