KLCAH sasar kutipan dana RM1 juta

KK Chai Kee Kan (duduk, empat dari kiri) bersama barisan ahli jawatankuasa KLCAH ketika sidang media Majlis Makan Malam kutipan Dana Bangunan KLCAH 2022 di Golden Sun Restoran, Sungai Besi. FOTO: SINAR HARIAN / RAFEQ REDZUAN
KK Chai Kee Kan (duduk, empat dari kiri) bersama barisan ahli jawatankuasa KLCAH ketika sidang media Majlis Makan Malam kutipan Dana Bangunan KLCAH 2022 di Golden Sun Restoran, Sungai Besi. FOTO: SINAR HARIAN / RAFEQ REDZUAN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur (KLCAH) menyasarkan kutipan dana sebanyak RM1 juta sempena acara meraikan Ulang Tahun ke-19 KLCAH dan Majlis Makan Malam Kutipan Dana Bangunan yang bakal berlangsung 27 November depan.

Presiden KLCAH, Datuk Seri Dr KK Chai Kee Kan berkata, dana berkenaan bertujuan menampung kos pembelian dan pengubahsuaian bangunan pejabat baharu KLCAH yang berjumlah keseluruhan RM1.5 juta.

Menurutnya, unit pejabat terletak di Maju Link, Bandar Tasik Selatan itu bakal menjadi satu lagi tanda perkembangan dan kejayaan KLCAH dalam tempoh 19 tahun ditubuhkan secara aktif.

"Maju Link terletak di Bandaraya Kuala Lumpur merupakan hab stesen bas terminal dengan kawasan yang luas. KLCAH menikmati 20 peratus di bawah harga pasaran iaitu RM1,090,000 untuk unit tersebut.

"Jumlah kos bagi unit termasuk pengubahsuaian ialah RM1.5 juta. Pengubahsuaian telah dimulakan baru-baru ini dan dijangka siap pada akhir Disember 2022.

"Kami menghadapi kekurangan RM1.2 juta. Dengan ini, persatuan berhasrat mengumpul dana melalui Majlis Makan Malam Ulang Tahun KLCAH ke-19 dan menyasarkan untuk mengumpul RM1 juta," katanya ketika sidang akhbar di sini pada Rabu.

Beliau berkata, lebih menarik, sumbangan yang diberikan melalui harga pakej yang disediakan ini boleh dibayar secara ansuran dalam tempoh tiga tahun bagi pakej terpilih.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Makan Malam Kutipan Dana Bangunan KLCAH, Datuk William Chow Ah Kow berkata, pakej dana sumbangan bagi majlis berkenaan bermula dengan harga RM3,000 hingga RM100,000.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat enam pakej sumbangan iaitu RM3,000; RM5,000; RM10,000, RM30,000; RM50,000 dan RM100,000.

"Setiap pakej menerima 10 tiket untuk menghadiri majlis makan malam dan keistimewaan lain bergantung jenis pakej," katanya.

KLCAH ditubuhkan pada Mei 2003 dan telah diasaskan oleh 13 Persatuan Cina, didaftarkan dan diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (Ras) pada 30 Oktober 2003 oleh Pengasas dan Presiden Kehormat KLCAH, Datuk Liew Poon Siak dan mendiang Datuk Liew Kon Sen.

Kini, KLCAH mempunyai 90 persatuan dibawahnya, dan 900 ahli individu yang kebanyakan terdiri daripada mereka yang mempunyai pelbagai latar belakang termasuk golongan profesional dan ahli perniagaan berjaya.

Sejak ditubuhkan KLCAH telah beroperasi di lima lokasi berbeza iaitu di Jinjang, Jalan Maharajalela, Setapak, Ampang Hilir dan Desa Petaling.

Justeru, dengan pembelian aset berkenaan, ia bakal menjadi pejabat kekal untuk KLCAH di samping ruang acara yang boleh disewakan sebagai sumber pendapatan bagi menampung kos operasi pejabat KLCAH kelak.