'Saya akan terus sokong GEG' -Khairy

Khairy - Foto Bernama
Khairy - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan terus memperjuang dan menyokong Dasar Generasi Penamat (GEG) dan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 sekiranya tidak menjadi Ahli Parlimen selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menteri Kesihatan itu berkata, beliau telah melakukan yang terbaik bagi membawa RUU itu sehingga ia dibacakan kali kedua di Dewan Rakyat.

"Saya akan terus menyokong supaya GEG ini dibawa ke Parlimen dalam apa jua kedudukan saya selepas ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan seminar Anti Obes City Putrajaya dan pelancaran modul program pengurusan berat badan di sini pada Rabu.

Menurutnya, kerajaan dan menteri kesihatan baharu yang bakal dibentuk selepas pilihan raya seharusnya tidak tunduk kepada syarikat tembakau.

"Mereka telah banyak mempengaruhi ahli Parlimen sedia ada dan media serta sebagainya untuk menakutkan rakyat mengenai RUU ini," katanya.

Beliau berkata, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa Parlimen baharu yang akan terbentuk itu akan dianggotai ahli yang baharu.

"Kita tidak boleh ambil pendirian bahawa Parlimen yang baharu ini akan automatik bersetuju dengan apa yang Parlimen lama putuskan melalui Jawatankuasa Pilihan Khas (JKP)," katanya.

RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dijadualkan untuk bacaan ketiga di Dewan Rakyat pada minggu hadapan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen penggal ke-14 bagi memberi laluan kepada PRU-15.