Siasat kemalangan, tapi jumpa mayat reput dalam longkang

Polis menemui mayat hampir reput dipercayai wanita di persimpangan lampu isyarat Jalan Tambun pada Rabu. - Foto Ihsan pembaca
Polis menemui mayat hampir reput dipercayai wanita di persimpangan lampu isyarat Jalan Tambun pada Rabu. - Foto Ihsan pembaca
A
A
A

IPOH - Polis menemui mayat yang hampir reput dipercayai wanita dalam longkang ketika menyiasat kejadian kemalangan membabitkan sebuah kenderaan yang terbabas di persimpangan lampu isyarat di Jalan Tambun, Tambun di sini pada Rabu.

Mayat lengkap berpakaian itu ditemui polis kira-kira dua meter dari lokasi kereta jenis Proton Saga Aeroback terbabas.

Dalam kejadian sekitar jam 5 pagi itu, kereta yang dipandu lelaki dari arah Tanjung Rambutan dikatakan cuba mengelak sesuatu sebelum terbabas ke bahagian kiri jalan.

Polis yang menjalankan siasatan kemalangan itu terhidu bau busuk dan menemui mayat berkenaan sebelum melaporkannya di balai polis berhampiran.

Mayat tanpa identiti itu kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, maklumat lanjut akan dimaklumkan selepas proses bedah siasat selesai dijalankan.

Artikel Berkaitan: