Permohonan pinjaman meningkat kepada RM53.4 bilion

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

DATA permohonan pinjaman kekal stabil pada Ogos 2022, sekali gus membuktikan bahawa kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak menjejaskan permintaan ke atas hartanah susulan pembukaan semula ekonomi.

MIDF Research (MIDF), cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd berkata, data yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia menunjukkan permohonan pinjaman hartanah pada Ogos lepas meningkat kepada RM53.4 bilion atau 4.5 peratus bulan ke bulan selepas susut sebanyak 12.5 peratus pada Julai 2022.

Dari segi asas tahunan, jumlah permohonan pinjaman hartanah melonjak 66.1 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2022 susulan kesan asas yang rendah akibat sekatan pergerakan yang dilaksanakan pada Ogos 2021.

Menurut MIDF, jumlah pinjaman yang diluluskan untuk pembelian hartanah meningkat sedikit kepada RM23.3 bilion atau 2.4 peratus pada Ogos 2022 dan bertentangan daripada penurunan 9.0 peratus pada Julai 2022, disumbangkan terutamanya oleh peningkatan permohonan pinjaman hartanah.

Bagi asas tahunan, jumlah pinjaman hartanah diluluskan bagi bulan di bawah kajian itu melonjak sebanyak 93 peratus akibat asas lebih rendah pada Ogos 2021 dan peningkatan peratusan jumlah pinjaman diluluskan berbanding jumlah permohonan pinjaman sebanyak 43.6 peratus pada Ogos 2022 berbanding 37.5 peratus bagi Ogos 2021.

"Secara keseluruhannya, peningkatan pinjaman yang diluluskan itu adalah sejajar dengan jangkaan kami berikutan pemulihan kecil jualan oleh pemaju hartanah,” katanya dalam nota tinjauan hari ini.

Data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan unit kediaman tidak terjual berkurangan kepada 34,092 unit pada suku kedua tahun 2022 daripada 35,592 unit pada suku pertama 2022 akibat pembukaan semula ekonomi.

"Walaupun jumlah kediaman tidak terjual menunjukkan tanda-tanda kian reda, kami dapati pasaran hartanah itu masih mendapat tempias daripada isu tidak terjual yang tinggi dalam suku kedua tahun 2022 iaitu melebihi 30,000 unit,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu, MIDF mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor hartanah dan memilih Mah Sing Group Bhd sebagai pilihan utama sektor itu dengan harga sasaran RM0.74 sesaham manakala IOI Properties Group Bhd juga kekal dengan saranan 'beli' pada harga sasaran RM1.29 sesaham.

Bagi IOI Properties Group Bhd, ia mengekalkan saranan ‘beli’ dengan sasaran harga RM1.29 sesaham. - Bernama