Pemuda tetap mahu kerusi Seremban diberi pada UMNO

Zool Amali
Zool Amali
A
A
A

SEREMBAN - Pemuda UMNO Seremban tetap dengan pendirian mahu kerusi Parlimen itu diserahkan kepada UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15(PRU15).

Ketua Pemudanya, Zool Amali Hussin berkata, jika kerusi itu masih kekal diberi kepada MCA, maka BN memberi kemenangan awal kepada DAP.

"Tiga kali PRU, MCA bertanding di kerusi tersebut dan hasilnya, BN ditolak pengundi dan lebih memalukan kalah dengan teruk.

"Takkanlah kita nak biar ia berulang lagi pada PRU15? Pemuda UMNO telah bawa usul ini beberapa kali kepada pimpinan parti dan harapnya ia didengar," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ujarnya, gesaan itu bukan bermakna Pemuda UMNO Seremban sengaja mahu menimbulkan masalah dengan MCA, tetapi hanya mahu memastikan kerusi itu dapat dirampas daripada DAP.

Tambahnya, jika tiada calon UMNO yang berani untuk bertanding di kerusi itu, beliau bersedia menawarkan diri sebagai calon.

"Tak kisahlah siapa pun, janji UMNO. Mungkin juga orang takut nak bertanding di Seremban sebab takut kalah kerana berdepan dengan penyandang, Loke Siew Fook.

"Kalau kita tak cuba, kita tak tahu kemampuan UMNO di Parlimen Seremban yang mempunyai seramai 110,000 pengundi dengan jumlah Dewan Undangan Negeri(DUN) paling banyak iaitu enam kerusi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau akan membawa usul itu buat kali terakhir pada Jumaat ini ketika Mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri Sembilan dan Mesyuarat UMNO Bahagian Seremban pada Ahad.

Ini kerana katanya, sehingga kini masih belum ada keputusan rasmi mengenainya.

"Parti janganlah anggap kerusi Seremban ini bukan kerusi 'favourite' sedangkan kalau betul langkahnya kita berpotensi untuk menang.

"Kalau pada saat akhir nanti parti masih kekal letakkan calon MCA, saya tak tahulah nak cakap macam mana lagi," jelasnya.

Tidak mustahil kata Zool Amali, pengundi Melayu akan memilih calon dari Pas atau Bersatu pada PRU15 yang kemungkinan calon Melayu.

Pada PRU14, calon DAP, Loke Siew Fook menang dengan majoriti 30,694 undi menewaskan calon BN daripada MCA, Datuk Chong Sin Woon yang mendapat 24,809 undi manakala calon Pas, Shariffuddin Ahmad memperoleh 11,506 undi.

Sebelum ini media melaporkan yang Ketua MCA Negeri Sembilan, Siow Koi Voon memberitahu, pihaknya tidak akan memberi laluan kepada parti komponen lain untuk bertanding di kerusi Parlimen Seremban.