Isu Palestin: Zambry terima memorandum Pemuda UMNO

Zambry (kanan) terima memorandum dari Muhamad Akmal (kiri) pada Isnin
Zambry (kanan) terima memorandum dari Muhamad Akmal (kiri) pada Isnin
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menerima penyerahan memorandum Pemuda UMNO berhubung pendirian mereka yang mengutuk isu serangan Israel terhadap Palestin pada Isnin.

Zambry berkata, beliau telah mengambil maklum usul yang dibawa Pemuda UMNO serta segala cadangan yang diberikan pihak mereka.

Menurutnya, kunjungan barisan kepimpinan Pemuda UMNO itu diketuai Dr Muhamad Akmal Saleh dan barisan Exconya.

“Sekali lagi, saya ingin tegaskan di sini bahawa Malaysia sentiasa konsisten dalam memperjuangkan setiap hak rakyat Palestin, berpaksi kepada keadilan dan menentang sebarang isu keganasan serta kekejaman

“Seperti sebelum-sebelum ini, saya juga telah beberapa kali bercakap mengenai isu Palestin termasuk di wawancara bersama dengan pihak Al-Jazeera,” katanya dalam satu kenyataan.

Zambry (lima dari kanan) ketika menerima memorandum dari Muhamad Akmal (enam dari kiri) bersama barisan Exco Pemuda UMNO pada Isnin.
Zambry (lima dari kanan) ketika menerima memorandum dari Muhamad Akmal (enam dari kiri) bersama barisan Exco Pemuda UMNO pada Isnin.

Sebelum itu, pada Rabu, Polis Israel menyerang puluhan umat Islam di pekarangan Masjid al-Aqsa sebelum subuh.

Tindakan zalim itu mencederakan sekurang-kurangnya 12 jemaah dan menangkap kira-kira 350 yang lain.

Dalam pada itu, Zambry berkata, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel yang menyalahi undang-undang, mencabuli hak asasi rakyat Palestin serta mencemar kesucian Masjid Al-Aqsa.

“Pergerakan Pemuda UMNO telah menyerahkan memorandum mengenai pendirian mereka yang mengutuk isu serangan Israel terhadap Palestin kepada saya selaku Menteri Luar Negeri.

“Terima kasih kepada Pemuda UMNO yang sentiasa cakna dengan isu ini dan diharap pihak antarabangsa dapat merungkai sesuatu penyelesaian mengenai isu yang seperti tiada kesudahan ini,” ujarnya.