Pemuda UMNO Perak enggan layan kritikan KJ

Nazirul (kanan) menyampaikan juadah sahur kepada anggota Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh pada program Singgah Sahur Pemuda UMNO Perak di sini pada malam Khamis.
Nazirul (kanan) menyampaikan juadah sahur kepada anggota Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh pada program Singgah Sahur Pemuda UMNO Perak di sini pada malam Khamis.
A
A
A

IPOH - Pemuda UMNO Perak enggan melayan sebarang kritikan yang dibuat bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar selepas dipecat dari parti.

Ketuanya, Nazirul Jamaluddin berkata, sebaliknya Pemuda UMNO Perak mahu fokus bekerja untuk pastikan orang muda kembali bersama dengan UMNO.

Menurut beliau, tindakan melayan sebarang kritikan bekas pemimpin dan orang luar daripada UMNO tidak menguntungkan parti.

"Semasa menjadi pemimpin pemuda dahulu memang kita bersama dia (Khairy Jamaluddin). Tapi sekarang ini bab nak komen tentang UMNO itu, kami Pemuda UMNO Perak kita letak tepi sebabnya sekarang fokus utama adalah untuk pastikan anak muda bersama dengan UMNO. Kita tak mahu kritikan di luar ini yang merosakkan UMNO

"Kalau kita fokus kepada KJ (Khairy Jamaluddin) atau mana-mana pemimpin yang sudah keluar dari UMNO memang gerak kerja tak akan jadi. Mungkin dia ada cara dia dan Pemuda Perak pun ada cara kita.

"Kalau KJ mungkin dia nak pastikan orang sentiasa ingat pada dia tapi kita mahu anak muda bersama dengan UMNO," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas program Singgah Sahur Pemuda UMNO Perak, di sini pada malam Khamis.

Dalam perkembangan lain, Nazirul berkata, Pemuda UMNO Perak sedang merangka usaha untuk memperkuatkan semua sayap itu di peringkat bahagian dan cawangan di seluruh negeri.

Katanya, beberapa program dirancang untuk mendekati golongan muda serta mahasiswa dalam usaha menarik minat mereka terhadap parti.

"KPI (indeks prestasi utama) kita adalah mahu anak muda di negeri ini bersama-sama dengan kita. Kita akan gunakan pelbagai saluran yang ada untuk bersama anak muda.

"Saya yakin usaha ini mampu dicapai di sebalik penampilan 90 peratus muka baharu ketua-ketua pemuda UMNO Bahagian yang memenangi pemilihan baru-baru ini," katanya.

Sementara itu, Nazirul menjelaskan pihaknya juga dalam proses menjalin kerjasama dengan sayap-sayap pemuda dari parti-parti kerajaan perpaduan ketika ini.