TFC lega raih tiga mata berharga

TFC menewaskan KL City 2-1 dalam saingan Liga Super pada Selasa. - Foto FB TFC
TFC menewaskan KL City 2-1 dalam saingan Liga Super pada Selasa. - Foto FB TFC
A
A
A

TERENGGANU FC (TFC) terus memberi cabaran untuk merebut slot ke saingan Piala AFC musim depan apabila menundukkan finalis edisi kali ini, Kuala Lumpur (KL) City FC.

Pemain sensasi, Kipre Tchetche dan Manuel Ott menjadi duri dalam daging buat skuad warga kota menerusi kemenangan 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium KLFA, Cheras pada Selasa.

TFC yang dalam misi memburu tiga mata berharga mengasak kubu tuan rumah untuk mencari gol semangat.

Namun skuad bimbingan Bojan Hodak ampuh bertahan.

Tanpa tonggak utama di benteng, Giancarlo Gallifuoco, Muhammad Faudzi berganding bersama Irfan Zakaria seakan serasi bersama.

KL City juga tanpa bek kiri, Declan Lambert yang melalui penggantungan perlawanan.

Gol yang diburu pelawat akhirnya menjelma pada minit ke-39 hasil sentuhan Ott yang menyudahkan sepakan penjuru Petrus Shitembi.

Selesa di depan TFC enggan mengendurkan serangan, sebaliknya terus bernafsu memburu gol.

Artikel Berkaitan:

Serangan bertali arus berbaloi apabila Kipre meledak gol kedua buat skuad Penyu sebelum wisel penamat babak kedua ditiup pengadil perlawanan.

Tersentak dengan jaringan pasukan pelawat, KL City bangkit memperkemaskan corak permainan pada babak kedua.

Ternyata ia membuahkan hasil apabila Romel Morales menanduk kemas hantaran Akram Mahinan pada minit ke-64.

Mereka mula meningkatkan intensiti dengan membuat tekanan tinggi ke atas benteng pertahanan TFC.

Namun usaha KL City untuk menyamakan kedudukan menemui jalan buntu sehingga tamat perlawanan.

Perlawanan berkesudahan dengan kedudukan kekal 2-1 memihak skuad Penyu yang meneruskan rentak kemenangan mereka kepada lapan perlawanan berturut-turut.

Peluang meraih tiket ke Piala AFC juga kian hampir menjadi realiti apabila kekal di kedudukan ketiga Liga Super setakat ini.